Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Lima lelaki ditahan selepas terbabit dalam pergaduhan di tapak pasar pagi berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan anggota unit kereta peronda (MPV) yang membuat rondaan menerima maklumat berkaitan berlaku pergaduhan sekumpulan lelaki pada 12.35 tengah malam.

"Ketika anggota tiba di lokasi, lima lelaki sedang bergaduh, akibat daripada kejadian itu seorang suspek lebam di muka dan di dahi, dia mendapat rawatan di Hospital Ampang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, siasatan awal mendapati punca pergaduhan itu dipercayai akibat sewaan kereta yang tidak dipulangkan.

"Kita masih soal siasat terhadap pembabitan suspek serta kaitan dengan kes lain.

"Semua lelaki berusia 22 hingga 41 tahun itu ditahan reman selama empat hari bermula Isnin sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Jun 2022 @ 1:06 PM