GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Tindakan sekumpulan lima lelaki menyamun basikal milik warga asing mengundang padah apabila mereka ditahan dalam beberapa siri serbuan di sekitar daerah ini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 15 hingga 23 tahun itu ditahan selepas polis menerima laporan berhubung kejadian pada 23 Disember lalu.

Beliau berkata, semua suspek didapati menyamun dua mangsa pemegang kad Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang juga pelayan restoran ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja dengan menunggang basikal

"Dalam kejadian 1 pagi, itu, sebuah kereta menghalang laluan mereka (mangsa) sebelum kesemua suspek merampas dua basikal serta dompet seorang daripada mangsa yang mengandungi wang tunai RM100.

"Mangsa cuba melarikan diri, namun suspek menendang mangsa sehingga terjatuh dan cedera di tapak tangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, selain penahanan suspek, polis turut merampas sebuah kereta Proton Preve berwarna biru yang disyaki digunakan ketika kejadian.

"Semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes seksual.

"Semua suspek ditahan reman lima hari sehingga Isnin (esok) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 January 2022 @ 3:10 PM