Tiga kereta rosak teruk akibat dirempuh lori pasir seberat 22 tan yang hilang kawalan di Jalan Bukit Permai, di sini, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Tiga kereta rosak teruk akibat dirempuh lori pasir seberat 22 tan yang hilang kawalan di Jalan Bukit Permai, di sini, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Tiga kereta rosak teruk akibat dirempuh lori pasir seberat 22 tan yang hilang kawalan di Jalan Bukit Permai, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 12.35 tengahari.

"Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berkenaan dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu hilang kawalan kerana dipercayai brek lori tidak berfungsi ketika menuruni Bukit Permai sebelum melanggar tiga kereta yang berhenti di lampu isyarat Bukit Permai hingga terbabas melanggar pembahagi jalan dan masuk ke jalan arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pemandu dan penumpang ketiga-tiga kereta itu bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan dan sedang dirawat di Jabatan Kecemasan Hospital Ampang.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi bebas yang menyaksikan kejadian diminta untuk tampil menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Trafik IPD Ampang Jaya Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012-6436327," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 6:11 PM