AB Rauf meneliti sampah yang dikutip di pantai peranginan Padang Kemunting, dekat Masjid Tanah pada program Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar hari ini. FOTO Hassan Omar
AB Rauf meneliti sampah yang dikutip di pantai peranginan Padang Kemunting, dekat Masjid Tanah pada program Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar hari ini. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Sampah sarap ditukar menjadi sumber tenaga elektrik. Matlamat itu bakal direalisasikan apabila sebuah Loji Rawatan Termal (insinerator) terbesar di negara ini bakal dibina di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sungai Udang, Melaka Tengah tidak lama lagi.

Loji berkenaan mempunyai kapasiti melupuskan 1,000 tan sisa pepejal sehari sebelum diproses menjadi tenaga untuk disalurkan kepada grid Tenaga Nasional Bhd (TNB) bagi menjana tenaga elektrik.

Menjelaskannya, Timbalan Ketua Pegawai EKsekutif (Teknikal) Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Ir Zulkifli Tamby Chik berkata, sebut harga bagi pembinaan loji itu sudah dikeluarkan baru-baru ini.

Beliau berkata, loji berkenaan dibina melalui konsep inisiatif pembiayaan swasta (PFI) oleh syarikat kontraktor yang mampu menghasilkan tenaga dan bahan sampingan lain untuk kegunaan pelbagai industri.

"Setakat ini, sudah ada insinerator yang seumpama itu di Ladang Tanah Merah berhampiran Port Dickson, Negeri Sembilan tetapi ia hanya mampu melupuskan 800 tan sisa pepejal sehari.

"Ia sedang menjalani proses percubaan sekarang dan bakal beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi jika semua syarat operasi dipenuhi," katanya selepas perasmian Kempen Berani Tegur Demi Perlindungan Penyu dan Alam Sekitar di sebuah resort di pantai peranginan Padang Kemunting, di sini, tadi.

Program itu dirasmikan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Zaidi Attan.

Turut hadir, EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Pengarah SWCorp Melaka, Khairuladha Ab Mutalib.

Kempen itu bertujuan meningkatkan keprihatinan anggota komuniti, terutama pengunjung pantai terhadap aspek pemeliharaan kebersihan dan pengurusan sisa pepejal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 4:13 PM