PEMANDU lori dicekup dalam operasi khas oleh penguat kuasa di Jalan Padang Japerun, semalam.
PEMANDU lori dicekup dalam operasi khas oleh penguat kuasa di Jalan Padang Japerun, semalam.
Nurul Fhatihah Zakinan


SEORANG pemandu lori dicekup selepas dikesan membuang sampah di tapak pembuangan haram dalam operasi yang dijalankan di 48 lokasi sekitar negeri ini, kelmarin.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka, Khairuladha Ab Mutalib berkata, pemandu lori berusia 40-an itu ditahan ketika membuang sampah di Jalan Padang Japerun, Cheng di sini, jam 11 pagi.

“Anggota penguat kuasa yang membuat intipan mengekori lori itu sehingga memasuki lokasi pembuangan sampah haram dan mendapati pemandu melonggokkan sisa pepejal di lokasi terbabit sebelum ditahan.

“Pemandu lori itu mengutip hasil sisa pepejal dari kilang di sekitar negeri untuk dilonggokkan di tapak pembuangan di situ,” katanya, semalam.

Katanya, lokasi pembuangan sampah haram itu wujud sejak dua tahun lalu dan operasi pemantauan dijalankan setiap masa bagi memastikan ia ditutup secepat mungkin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Akta 672) 2007 kerana melonggokkan sisa pepejal di lokasi tidak dibenarkan,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 akta sama kerana mengusahakan atau menyediakan apa-apa perkhidmatan pengurusan sisa pepejal tanpa lesen.

Khairuladha berkata, operasi membabitkan 11 anggota penguat kuasa dibantu Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Chew Chin Seng itu dijalankan bagi mengesan lokasi pembuangan haram iaitu 34 di Melaka Tengah, Alor Gajah (3) dan Jasin (11).

“Sepatutnya, segala sisa buangan dan sampah sarap perlu dihantar ke tapak yang sah iaitu di Sungai Udang, bukannya di tempat yang tidak dibenarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Julai 2019 @ 5:00 AM