Ab Rauf Yusoh.
Ab Rauf Yusoh.
Oleh Amir Mamat


Melaka: Kerajaan negeri mahu pembinaan Loji Sisa Ke Tenaga (WTE) atau insinerator di Tapak Pelupusan Sampah Sungai Udang, di sini, disegerakan.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia kerana pembinaan loji di atas tanah seluas 3.8 hektar itu yang sepatutnya siap tahun ini menjejaskan keharmonian kehidupan masyarakat di sekitar kawasan terbabit.

Katanya, kelewatan membina loji WTE yang menelan kos lebih RM700 juta itu secara tidak langsung menjadikan suasana kehidupan masyarakat terus dibelenggu dengan isu pencemaran berikutan lambakan pembuangan sisa pepejal meningkat setiap hari.

Menurutnya, pihak terbabit seperti Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan Malakoff Corporation Berhad (MCB) perlu menyelesaikan segera proses rundingan komersial supaya projek itu dapat dijalankan seawal tahun hadapan.

"Saya mahu semua agensi yang terbabit menjadi pemudah cara dengan mempercepatkan proses rundingan harga dan terma atau syarat kerana semakin lama projek ini tertangguh, semakin banyak sisa pepejal dikumpulkan di sini yang pada ketika ini sudah menjangkau 1,100 tan setiap hari.

"Di peringkat kerajaan negeri, saya yakin tiada masalah kerana kita sudah memberi kerjasama yang baik dalam soal pengambilalihan tanah.

"Semua pihak yang terbabit dalam rundingan melaksanakan projek ini harus mengambil kira keresahan dan kemampuan kawasan sedia ada yang semakin terhad untuk pengumpulan sisa pepejal," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek WTE, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembinaan loji itu akan menjadi projek penggunaan teknologi WTE pertama di Melaka dalam mengurus dan mengendalikan sisa pepejal.

Katanya, penggunaan teknologi Jepun dalam pembangunan sistem pengurusan sisa pepejal itu akan menjadikan Melaka lebih bersih dan indah pada masa akan datang.

"Menjadi harapan saya supaya projek WTE Sungai Udang ini dapat dipercepatkan dengan mengambil kira jumlah peningkatan sisa pepejal serta keluasan tapak pelupusan yang terhad dan yang paling utama adalah mengambil kira keharmonian penduduk setempat.

"Sebab itu saya sudah meminta Timbalan Ketua Pengarah (Teknikal) Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Muhamad Zaini Hasnan, pihak UKAS dan MCB dapat mempercepatkan segala proses supaya projek ini dapat beroperasi lebih awal dengan mengambil kira tahap keselesaan penduduk Melaka keseluruhannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2023 @ 4:02 PM