Nurul Hidayah Bahaudin

Sungai Buloh: Bukan saja kereta dan motosikal, malah kumpulan Lee Honda turut mensasarkan kerusi kereta jenis Recaro sebagai hasil curi sindiket berkenaan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan kereta jenis Honda milik kakaknya yang diletakkan di Jalan Bulan U5/166 Subang 2, di sini, hilang pada 9 April lalu.

"Hasil maklumat diperolehi, kami melakukan beberapa serbuan menerusi Operasi Lejang Khas di lapan lokasi berasingan di sekitar Rawang, Shah Alam dan Serendah dari 22 Mei hingga 1 Jun lalu.

"Dalam serbuan itu, kami menahan 10 individu termasuk seorang wanita berusia antara 22 hingga 45 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan jenayah berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini, hari ini.

Shafa'aton berkata, pihaknya merampas 13 kereta dan dua motosikal pelbagai jenis yang dilaporkan hilang selain beberapa kerusi kereta Recaro dianggarkan bernilai RM300,000 dalam serbuan berkenaan.

"Modus operandi kumpulan ini adalah mensasarkan kereta lama jenis Honda Civic (Ferio), Proton Wira, Proton Satria, Proton Perdana dan Perodua Kancil, manakala bagi motosikal pula jenis Yamaha 125ZR serta Honda EX5 selain kerusi kereta jenis Recaro.

"Mereka akan meleraikan kenderaan yang dicuri untuk mengambil komponen sebelum dijual selain memotong 'badan' kenderaan itu bagi dijual di kedai barang lusuh.

"Malah, ada juga kenderaan curi itu digunakan sendiri oleh suspek," katanya yang memaklumkan kumpulan berkenaan aktif melakukan kegiatan terbabit sejak Jun tahun lalu.

SHAFA'ATON (tengah) bercakap pada sidang media tangkapan Ops Lejang Lee Honda dan Geng Aqil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh. FOTO Asyraf Hamzah
SHAFA'ATON (tengah) bercakap pada sidang media tangkapan Ops Lejang Lee Honda dan Geng Aqil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh. FOTO Asyraf Hamzah

Beliau berkata, soal siasat dilakukan terhadap suspek mendapati kumpulan itu dipercayai terbabit dengan 30 kes curi kereta, 10 kes curi motosikal serta 27 kes curi kerusi kereta jenis Recaro di Gombak, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Serdang selain daerah ini.

"Semakan dilakukan mendapati sembilan daripada 10 suspek yang ditahan memiliki rekod berkaitan jenayah dan dadah termasuk dalang kumpulan terbabit iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun yang mempunyai 33 rekod selain dua rekod individu dikehendaki.

"Kami sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dengan kegiatan kumpulan berkenaan iaitu Amir Zaidan Muhamad Shahril yang beralamat terakhir di Rawang," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan curi kerusi kereta.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan kumpulan terbabit boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Hady Husaini Husin untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 12:39 PM