Pengamal media tempatan dan luar negara termasuk dari Indonesia menyertai FAMTRIP Travel Media Escape @ KEJORA 2019 di Kota Tinggi. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Pengamal media tempatan dan luar negara termasuk dari Indonesia menyertai FAMTRIP Travel Media Escape @ KEJORA 2019 di Kota Tinggi. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


EMPAT puluh pengamal media tempatan dan luar negara termasuk dari Indonesia menyertai FAMTRIP Travel Media Escape @ KEJORA 2019 dari Selasa hingga semalam di Kota Tinggi, Johor.

Antara kawasan yang dijelajah termasuk Desaru, Tanjung Balau, Tanjung Sedili, Johor Lama dan Teluk Sengat bagi mempromosikan destinasi pelancongan sekali gus menggamit kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengurus Pelancongan KEJORA Haslinda Abu Bakar berkata, program berkenaan dianjurkan bersama Travelers Writers Association Malaysia (TRAM).

“Terdapat lima fungsi dan peranan utama yang dimainkan KEJORA dalam merangsang pertumbuhan sektor ekonomi iaitu pembabitan secara langsung dalam bidang perhotelan dan kemudahan pelancongan, menyediakan infrastruktur asas, menyelaras dan menggalak pelaburan swasta, mengenal pasti potensi sumber pelancongan selain mempromosi serta memasarkan produk pelancongan.

“Pada 2017 rekod rasmi penginapan pelancong di wilayah KEJORA adalah 289,301 orang dan meningkat 321,888 orang pada 2018.

“Pertambahan ini ada kaitan dengan operasi Desaru Coast yang memulakan operasi mereka tahun lalu.

“Angka itu dijangka lebih lagi jika mengambil kira kedatangan pelancong harian yang berkunjung ke pantai awam dan tempat menarik lain di wilayah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Teratak Penawar Taman Fertigasi KEJORA di Bandar Penawar.

Hadir sama, Presiden TRAM Datuk Azlie Halim.

Haslinda berkata, antara kawasan popular adalah Tanjung Balau, Tanah Lembap Kampung Belukar Durian, Muzium Nelayan Tanjung Balau, Pusat Penetasan dan Ternakan Belangkas Sedili Kecil, Sungai Sedili, Sungai Johor, Desaru Fruit Farm, Taman Buaya Teluk Sengat selain destinasi perkelahan terbaru yang bakal dibuka di Gunung Muntahak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2019 @ 6:24 PM