Zaid Salim


Kuala Terengganu: Beberapa jenis sayur dan bahan mentah mengalami kenaikan harga sehingga lebih 50 peratus.

Kenaikan harga itu menyebabkan peniaga berdepan kesukaran untuk menjual berikutan rungutan pengguna yang berdepan dengan isu kenaikan harga makanan asas, bukan sahaja sayuran malah ayam dan beberapa jenis ikan.

Tinjauan di Pasar Chabang Tiga di sini, hari ini mendapati, timun batang mengalami kenaikan harga mendadak apabila hari ini, ia dijual pada harga RM6 sekilogram.

Peniaga, Norhazana Harun, 39, berkata, harga timun batang naik setiap hari sejak Aidilfitri dan hari ini, harga daripada pemborong sahaja mencecah RM45 untuk 10 kilogram (kg).

Norhazana yang sudah 22 tahun berniaga di pasar berkenaan dan berasal dari Kampung Paloh itu berkata, sebelum Aidilfitri, timun batang 10kg hanya RM18 hingga RM20 sahaja.

"Selain timun batang, harga cili api Siam turut naik iaitu RM29 sekilogram berbanding RM12 hingga RM13 sekilogram sebelum perayaan.

"Kenaikan harga menyebabkan peniaga mengalami kesukaran untuk menjual. Namun, sebilangan besar pengguna tidak merungut kerana sudah memahami isu harga makanan asas sekarang seperti ayam yang sehingga kini masih pada harga RM12 sekilogram," katanya.

Katanya, selain timun batang dan cili api Siam, sawi Siam meningkat kepada RM6 sekilogram manakala sawi kampung pula dijual pada harga RM8 sekilogram berbanding sebelum Aidilfitri iaitu RM4 hingga RM6 sekilogram.

Bagi sayuran lain seperti bendi, kacang panjang, kubis bulat dan terung, tidak berlaku kenaikan malah harga sayuran berkenaan ada yang stabil selain ada yang sedikit turun berbanding sebelum perayaan.

"Naik turun harga ini bergantung kepada bekalan, jika bekalan banyak, harga secara langsung akan turun. Contoh, sebelum musim perayaan, kacang panjang dijual mahal kerana kekurangan bekalan namun kini, harganya turun," katanya.

Tinjauan turut mendapati, ayam dijual pada harga RM12 sekilogram walaupun bekalan bahan mentah itu dikatakan semakin pulih.

Rata-rata peniaga mendakwa terpaksa menjual pada harga berkenaan memandangkan kos bagi setiap ayam yang diperoleh daripada pembekal antara RM10.50 hingga RM10.90 sekilogram.

Peniaga mendakwa, harga tinggi turut menyebabkan hasil jualan mereka berkurangan kerana kuasa membeli kurang.

Bagaimanapun, mereka tiada pilihan untuk menjual pada harga siling yang ditetapkan kerajaan kerana harga pembekal sudah melebihi harga siling.

Tinjauan turut mendapati, harga kembong melambung sehingga RM25 sekilogram.

Namun, hanya beberapa gerai sahaja yang menjual ikan berkenaan berikutan bekalan bahan itu yang sangat berkurangan.

TINJAUAN harga sayur, ikan dan ayam di Pasar Chabang Tiga. FOTO Zaid Salim
TINJAUAN harga sayur, ikan dan ayam di Pasar Chabang Tiga. FOTO Zaid Salim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 3:10 PM