Azhar Shahrulnizam


Kuala Lumpur: Anak panda ketiga yang dilahirkan di Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara, di sini dinamakan sebagai Sheng Yi.

Nama anak panda gergasi itu diumumkan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Haasan bersama Duta China ke Malaysia Ouyang Yujin.

Sheng Yi yang membawa maksud keamanan dan persahabatan adalah anak panda ketiga bagi pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang berada di Malaysia sejak 2014.

Anak panda gergasi betina itu akan berusia setahun hujung minggu ini, kini mencapai berat melebihi 27 kilogram.

Takiyuddin berkata, Kerajaan Malaysia berharap Sheng Yi akan dapat mengeratkan dan mengukuhkan lagi persahabatan Malaysia dan China.

"Hari ini adalah hari bersejarah bagi hubungan diplomatik negara Malaysia dan China apabila anak ketiga pasangan panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang yang dilahirkan 31 Mei 2021," katanya pada Majlis Penamaan Anak Panda Gergasi di sini, hari ini.

Selain Sheng Yi, Xing Xing dan Liang Liang mempunyai dua lagi anak dilahirkan di Malaysia iaitu Nuan Nuan (18 Ogos 2015) dan Yi Yi (Januari 2018).

Nuan Nuan sudah dihantar pulang ke China pada 14 November 2017 manakala Yi Yi sepatutnya dibawa pulang ke China pada April 2020, namun terpaksa ditangguhkan kerana China masih menutup pusat konservasinya ketika itu akibat pandemik Covid-19.

Anak panda yang diberi nama Sheng Yi, ketika majlis Penamaan Anak Giant Panda Ketiga di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Anak panda yang diberi nama Sheng Yi, ketika majlis Penamaan Anak Giant Panda Ketiga di Pusat Konservasi Giant Panda, Zoo Negara, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 11:36 AM