NUR Hayati dibantu Nik Fatin Asyikin (kanan) menaip cetakan al-Quran Braille.
NUR Hayati dibantu Nik Fatin Asyikin (kanan) menaip cetakan al-Quran Braille.
TITIK-TITIK timbul di dalam al-Quran Braille yang dicipta khas untuk memudahkan OKU cacat penglihatan mempelajari al-Quran.
TITIK-TITIK timbul di dalam al-Quran Braille yang dicipta khas untuk memudahkan OKU cacat penglihatan mempelajari al-Quran.
SEBAHAGIAN OKU cacat penglihatan mempelajari al-Quran Braille di Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Kelantan Jelawat, Bachok.
SEBAHAGIAN OKU cacat penglihatan mempelajari al-Quran Braille di Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Kelantan Jelawat, Bachok.
NUR Hayati dibantu Nik Fatin Asyikin menaip cetakan al-Quran Braille untuk OKU cacat penglihatan.
NUR Hayati dibantu Nik Fatin Asyikin menaip cetakan al-Quran Braille untuk OKU cacat penglihatan.
Hazira Ahmad Zaidi


Kecanggihan teknologi dan cetakan al-Quran Braille yang dicipta khas untuk orang cacat penglihatan memudahkan mereka mempelajari al-Quran tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Berbanding insan normal yang mampu menghayati al-Quran menerusi pancaindera kurniaan Allah SWT, golongan ini pula bergantung sepenuhnya kepada naskhah Braille yang kini disediakan dalam enam jilid.

Walau hilang deria melihat, orang istimewa ini masih mempunyai deria sentuhan yang membolehkan mereka merasai titik timbul yang membentuk ayat al-Quran sempurna pada kertas putih.

Seorang pengguna al-Quran Braille, Nur Hayati Che Hassan, 27, berkata, dia tidak melepaskan peluang apabila dimaklumkan mengenai kelas al-Quran Braille selama tiga bulan yang diuruskan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Julai tahun lalu.

Bukan hanya didedahkan dengan asas pembacaan, peserta juga dibahagikan mengikut tahap pemahaman, sekali gus memberi keselesaan kepadanya untuk mengikuti pengajian itu.

“Sebelum ini saya hanya mendengar bacaan ayat suci al-Quran menerusi kaset, cakera padat mahupun dibacakan ahli keluarga kerana itu sahaja cara untuk saya menghayati keindahannya selepas hilang deria penglihatan sejak berusia 12 tahun lalu kerana penyakit saraf.

“Kini dengan adanya al-Quran Braille, ia menjadi rahmat dan saya tidak mahu lepaskan peluang mempelajarinya.

“Menjadi kewajipan saya sebagai umat Islam untuk membaca al-Quran setiap hari walaupun ada kekurangan diri,” katanya yang ditemui ketika mengikuti kelas al-Quran itu anjuran SBM cawangan Kelantan di Jelawat, Bachok, Kelantan, baru-baru ini.

Pada permulaan, Nur Hayati mengakui sukar memahami al-Quran braille kerana baris dan hurufnya berbeza berbanding al-Quran biasa.

Namun berkat kesabaran dan ketekunannya, dia berjaya mengatasi cabaran itu dalam tempoh beberapa minggu.

“Selepas dapat menguasai al-Quran Braille, sedikit demi sedikit saya boleh mempraktikkan bacaan di rumah dan memantapkan tahap penguasaan,” katanya yang berharap kelas mengaji itu diadakan secara berterusan, bukannya untuk tempoh tiga bulan setahun.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Cawangan Kelantan Mohd Nazri Nawi berkata, pembelajaran di kelas al-Quran Braille banyak membantunya memantapkan mutu bacaan ayat suci kerana berpeluang menerima didikan daripada pengajar terlatih.

Al-Quran Braille bukanlah asing bagi beliau, namun tiada salah baginya untuk terus menambah ilmu menerusi kelas yang dikendalikan pakar.

“Terdapat enam titik pada kotak Braille, namun ia memerlukan tumpuan serta kepekaan di hujung jari. Jika tersilap, kita mungkin terlepas ayat dan bacaan tidak lengkap,” katanya yang sudah lama merancang mengadakan kelas al-Quran formal itu, namun terhalang kerana masalah kewangan.

Beliau berkata, hasrat PERTIS hanya terlaksana Julai lalu selepas menerima dana daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“Idea mengadakan kelas al-Quran Braille dicetuskan Tengku Temenggong Kelantan Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz dan baginda juga berkenan menyampaikan sumbangan al-Quran Braille kepada OKU cacat penglihatan di Bachok bagi memudahkan kami mengikuti kelas berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, kelas itu ditamatkan pada Oktober tahun lalu dan pihaknya terpaksa mengambil inisiatif mengadakan kelas persendirian yang dibantu seorang tenaga pengajar sukarelawan dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Ia dibuka kembali bulan lalu dan diadakan setiap Sabtu menerusi sumber dana SBM hasil derma golongan korporat yang prihatin.

Bagi pengajar Nik Fatin Asyikin Nik Fakarudin, 24, pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda al-Quran dan Multimedia di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memerlukannya mendalami semua jenis al-Quran termasuk jenis Braille.

Berikutan pengetahuan itu, penuntut tahun tiga itu mengambil keputusan bersama komuniti buta di Bachok dan mengajar mereka mengaji al-Quran jenis itu.

“Dengan ilmu itu, saya cuba bantu mereka dan pada masa sama perlu menghafal kod tulisan Braille bagi memudahkan saya mengajar.

“Untuk tahap satu, mereka diajar mengenali Braille menerusi mesin dan menaip huruf Jawi. Kemudian pin dilekatkan pada gabus untuk membolehkan mereka merasai titik.

“Hanya selepas mahir mengenalinya, barulah mereka boleh menguasai al-Quran Braille,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 12:01 PM