LAPORAN portal Harian Metro hari  ini.
LAPORAN portal Harian Metro hari ini.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menganggap pendedahan kajian mengenai pelitup muka yang tidak mematuhi piawaian adalah kurang bersesuaian ketika negara menuju peralihan endemik.

Sebaliknya Timbalan Presiden Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, kajian mengenainya dan piawaian ditetapkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) sepatutnya sudah dilaksanakan sejak mula pandemik Covid-19.

"Sepatutnya kajian kualiti pelitup muka mesti dilakukan peringkat awal pandemik lagi sebab ia antara alat yang utama dalam pencegahan individu daripada dijangkiti virus Covid-19.

"Daripada segi kajian, itu memang baik untuk memastikan kualiti. Tujuan pemakaian pelitup muka adalah untuk aspek kesihatan.

"Tetapi apabila ia timbul dalam keadaan sekarang negara beralih ke arah fasa peralihan ke endemik, sudah tentu kajian itu amat baik tetapi seperti tidak memberi makna lagi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Harian Metro hari ini melaporkan mengenai lambakan pelitup muka 'cap ayam' apabila ujian dilakukan Sirim mendapati lebih 20 peratus daripada lebih 200 sampel pelitup muka pelbagai jenama yang diambil dari seluruh negara gagal melepasi dan tidak memenuhi standard minimum ditetapkan Sirim.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan keselamatan pengguna untuk mencegah dijangkiti Covid-19 yang menggunakan pelitup muka sedemikian selama ini.

Mohd Yusof berkata, ketika ini tidak dapat dipastikan sama ada gelombang penularan kes jangkitan dengan pertambahan tinggi kes harian berlaku beberapa kali sebelum ini adalah disebabkan kualiti pelitup muka yang teruk, atau sebaliknya.

Namun, katanya, hakikat diakui pelitup muka yang tidak menepati piawaian ditetapkan sudah tentu ia tidak berkesan dalam melindungi penggunanya daripada jangkitan Covid-19.

Menurutnya, usaha kerajaan ingin menetapkan pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna sebelum dijual satu aspek yang bagus tetapi perkara itu agak terlewat. "Sepatutnya sudah ada sebelum teruk penularan sedang berlaku hingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dikuatkuasakan.

"Namun, Fomca akui kajian mengenai kualiti amat penting kerana kita tidak mahu disebabkan penjualan pelitup muka yang tidak berkualiti menyebabkan peningkatan penularan jangkitan virus.

"Apatah lagi kebanyakan pelitup muka yang dijual di Malaysia diimport dari negara China yang kita tak pasti kualitinya," katanya.

Berkenaan majoriti pelitup muka dijual selebriti tidak mendapat kelulusan Sirim pula, katanya, selebriti hanya digunakan untuk melariskan produk.

"Ini bukan masalah kualiti, ia lebih kepada syarikat pengeluar atau pembekal nak mendapatkan pengaruh dengan menggunakan selebriti sebagai tarikan kepada potensi pengguna membeli.

"Ia lebih kepada aspek pemasaran. Tetapi apa yang penting ialah kualiti pelitup muka itu perlu menepati piawaian tertentu yang pada awal pandemik tidak ditetapkan.

"Hanya dimaklumkan pelitup muka tiga lapisan, tambahan pelitup muka fabrik, cara pemakaian, pelitup muka bukan perubatan dan sebagainya tetapi kualiti tidak diberi penekanan. Sekarang ditimbulkan sedangkan kita sudah mulai fasa peralihan endemik," katanya.

Berita berkaitan:

  • 20 peratus gagal ujian Sirim [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 1:54 PM