Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih berkuat kuasa walaupun kini negara berada dalam Fasa Peralihan Endemik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu individu termasuk pelancong asing yang berada di negara ini perlu patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) terutama pemakaian pelitup muka di tempat awam.

"Akta 342 masih berkuat kuasa di fasa peralihan, mereka ini kena patuh kepada semua langkah kesihatan awam atau SOP yang sudah ditetapkan.

"Jika tidak, tindakan boleh diambil ke atas individu berkenaan (yang melanggar SOP)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain pemakaian pelitup muka di tempat awam, amalan mendaftar masuk menggunakan MySejahtera juga masih berkuat kuasa di bawah Akta 342 ketika fasa ini yang dimulakan sejak 1 April lalu.

Menerusi Akta 342, individu yang didapati bersalah melanggar peraturan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

Dr Noor Hisham sebelum ini turut mengingatkan orang ramai agar tidak leka dan terus memakai pelitup muka terutamanya ketika berada di kawasan berisiko tinggi terhadap jangkitan Covid-19.

Beliau dilapor berkata, ancaman virus SARS-CoV-2 tidak boleh diabaikan sama ada ketika dalam Fasa Peralihan Endemik mahupun Fasa Endemik kerana virus itu yang mudah merebak melalui titisan cecair atau titisan saluran pernafasan (respiratory droplets).

"Ini berdasarkan kemungkinan terdapat individu yang tidak tahu dijangkiti Covid-19, berada di kawasan umum kerana tidak bergejala. Oleh itu, pakailah pelitup muka sebagai perisai bagi orang di sekeliling kita, terutama golongan berisiko tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 1:05 PM