Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik

Shah Alam: Fakta yang wajar menggusarkan ramai pihak susulan lambakan pelitup muka 'cap ayam' dijual di pasaran yang tidak kalis terhadap virus Covid-19.

Ini dibuktikan apabila lebih 20 peratus daripada lebih 200 sampel pelitup muka pelbagai jenama yang diambil dari seluruh negara gagal melepasi ujian dilakukan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim).

Difahamkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini mengumpul 200 sampel pelitup muka pelbagai jenama sejak tahun lalu sebelum dihantar ke Sirim untuk menjalani uji kaji.

Malangnya banyak pelitup muka terbabit gagal memenuhi standard minimum ditetapkan Sirim.

Sumber KPDNHEP berkata, lebih mengejutkan apabila hampir kesemua pelitup muka diedarkan selebriti tanah air tidak mendapat kelulusan Sirim sebelum diedarkan ke pasaran.

Menurutnya, ini sekali gus mencetuskan tanda tanya berikutan ada antara pelitup muka dijual itu ditetapkan pada harga 'kayangan' berbanding pelitup muka dengan kualiti sama.

"Ada pelitup muka tidak berkualiti ini dibawa masuk dari luar negara dalam kuantiti besar sebelum dibungkus semula untuk pasaran tempatan tanpa melalui pemeriksaan Sirim.

"Pelitup muka ini mudah dikenal pasti berikutan kotak jualannya tidak terdapat ciri-ciri keselamatan label kod QR dikeluarkan oleh Sirim," katanya.

Menurutnya, Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini berkata, Sirim QAS International Sdn Bhd berjanji akan memberikan harga yang paling rendah kepada pengeluar dan pengimport bagi mendapatkan perakuan MS SIRIM.

"Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan bermula 1 Januari tahun depan akan memastikan semua pelitup muka memenuhi kualiti ditetapkan kerajaan.

Ternyata kebimbangan itu berasas apabila Ketua Jabatan Persijilan Produk dan Pemeriksaan Sirim Qas International Sdn Bhd (Sirim Qas), Md Adha Katni@Rahmat mendedahkan, kira-kira 20 peratus daripada lebih 200 sampel pelitup muka pelbagai jenama yang diambil dari seluruh negara ini tidak memenuhi standard minimum yang dikehendaki.

MD Adha. FOTO Aziah Azmee
MD Adha. FOTO Aziah Azmee

"Ujian ini dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selama lebih empat bulan tahun lalu. Dapatan kajian kita mendapati 20 peratus daripada lebih 200 sampel pelitup muka itu tidak memenuhi standard dan kebanyakannya pelitup muka bukan perubatan.

"Mungkin boleh dikatakan ini antara punca virus ini masih menular tetapi pelitup muka bukan satu-satunya punca penularan dan ada banyak faktor lain.

"Cuma secara logiknya, kalau pakai pelitup muka yang tidak berfungsi mengikut standard tidak berguna juga kerana ia tetap mendedahkan kita kepada risiko jangkitan," katanya.

Mengulas mengenai jumlah syarikat pengeluar yang mendapatkan label Sirim Qas, Md Adha berkata, sehingga kini pihaknya mengeluarkan persijilan pelitup muka untuk perubatan dan industri kepada 30 syarikat.


Tiga kaedah uji kualiti pelitup muka

Shah Alam: Bukan 'kerja' cincai berikutan tiga kaedah keberkesanan pematuhan dilaksanakan Sirim QAS International bagi menentukan pelitup muka di pasaran mampu berfungsi melindungi orang ramai daripada sebarang jangkitan virus.

Ketua Jabatan Persijilan Produk dan Pemeriksaan SIRIM QAS International, Ts Md Adha Rahmat berkata, semua proses berkenaan perlu dilakukan bagi menentukan syarikat pengeluar pelitup muka terutama bukan perubatan memenuhi piawaian ditetapkan.

"Langkah pertama dilakukan kami adalah 'audit kilang' untuk memeriksa sistem pengurusan kualiti dan proses pengeluaran pelitup muka.

"Selepas berpuas hati dengan sistem pengeluaran yang konsisten, kami akan mengambil sampel (pelitup muka) di kilang untuk diuji di dalam makmal kami. Ujian dilakukan mengikut standard yang kami tetapkan dengan kesemua proses pengujian menggunakan mesin khas untuk mendapatkan hasil konsisten.

"Salah satu ujian dilakukan pada peringkat awal adalah Microbial Cleanliness Test bagi menentukan pencemaran mikroorganisma pada pelitup muka dengan cara merendam pelitup muka ke dalam larutan Saline.

"Pelitup muka itu kemudian dituang ke atas medium pertumbuhan. Selepas tempoh inkubasi, pencemaran mikroorganisma dapat diketahui," katanya.

Menurutnya, ujian kedua adalah keberkesanan menapis partikel menggunakan mesin Bacterial Filtration Efficiency Tester atau Particle Filtration Efficiency Tester.

"Penapisan 100 peratus adalah yang terbaik, tetapi kelemahannya kita sukar bernafas justeru kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan kadar minimum penapisan untuk pelitup muka bukan perubatan ialah 70 peratus.

"Ujian seterusnya ialah ujian tekanan pernafasan diukur dengan perbezaan jumlah tekanan yang masuk dan keluar melalui pelitup muka. Jika perbezaan tekanan masuk dan keluar rendah bermakna ia bagus tetapi perlu dipastikan beza tekanannya tidak terlalu tinggi dan ia di bawah paras 60 Pa/cm2.

Orang kuat Ahda Wellness
Orang kuat Ahda Wellness

"Proses seterusnya ialah menentukan ketahanan penyambungan di antara tali dan pelitup muka berdasarkan ujian kekuatan (Joint Strength Test) yang perlu mencapai minimum 10 Newton (lebih kurang 1 kilogram) untuk memastikan ia kuat dan tidak mudah putus apabila digunakan," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, selepas semua proses pematuhan itu selesai dan memenuhi semua keperluan standard, sebagai langkah terakhir barulah syarikat akan memohon pembelian label keselamatan dengan Sirim yang akan menjadi penanda aras kepada pengguna bagi menentukan sama ada pelitup muka di pasaran itu tulen atau tidak.


Uji keberkesanan guna bakteria hidup

Shah Alam: Tidak sekadar ujian fizikal malah bakteria hidup dengan larutan air garam (saline) turut digunakan untuk menguji tahap kualiti pelitup muka di pasaran.

Itu antara kaedah digunakan Sirim QAS International Sdn Bhd bagi menguji tahap kebersihan pelitup muka supaya bebas daripada bahan tercemar mahupun bakteria.

Ketua Jabatan Persijilan Produk dan Pemeriksaan Sirim QAS International, Md Adha Rahmat berkata, untuk ujian keberkesanan penapisan melalui kaedah bakteria, ia perlu dikendalikan dengan menggunakan peralatan khusus serta ahli mikrobiologi bertauliah.

MD Adha menunjukkan aplikasi SIRIM QAS International bagi menyemak sama ada produk yang dibeli melalui online ataupun kedai mendapatkan kelulusan Sirim. FOTO Aziah Azmee
MD Adha menunjukkan aplikasi SIRIM QAS International bagi menyemak sama ada produk yang dibeli melalui online ataupun kedai mendapatkan kelulusan Sirim. FOTO Aziah Azmee

"Bakteria diternak khusus untuk membuat ujian dalam makmal menggunakan larutan garam.

"Ujian ini memakan masa dan perlu dibiarkan semalaman bagi melihat keputusannya pada keesokan hari.

"Biasanya kita mampu membuat pengujian maksimum enam ke tujuh sampel pelitup muka sahaja sehari," katanya.

Menurutnya, kaedah pengujian ini boleh digunakan untuk pelitup muka perubatan dan bukan perubatan.

ADA antara pelitup muka dijual itu ditetapkan pada harga ‘kayangan’ berbanding pelitup muka dengan kualiti sama.
ADA antara pelitup muka dijual itu ditetapkan pada harga ‘kayangan’ berbanding pelitup muka dengan kualiti sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2022 @ 12:00 PM