GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Penangguhan penguatkuasaan Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan pada 1 Januari 2023 adalah langkah tepat bagi mengelak 'kejutan harga' berlaku.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, penandaan MS Sirim bagi mematuhi standard dan berkualiti sudah pasti akan meningkatkan kos pengeluaran seterusnya pengguna akan terbeban.

Menurutnya, penguatkuasaan itu tidak sepatutnya tidak dibuat secara mengejut malah ia lebih sesuai diperkenalkan lebih awal berbanding ketika Malaysia sudah masuk ke fasa endemik.

"Kos pengeluar akan meningkat apabila ada prosedur tambahan yang perlu dipatuhi dan harga pelitup muka pasti akan meningkat.

"Ini ternyata bakal membebankan pengguna kerana kini pelitup muka adalah keperluan kesihatan bagi setiap orang.

"Malah permintaannya akan tetap stabil selagi pemakaiannya diwajibkan kerajaan bagi mengelak penularan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, kerajaan perlu pastikan pengeluar dan penjual tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga bermula Januari tahun depan.

Katanya, tempoh masa lebih tujuh bulan ini boleh digunakan untuk memastikan kos pengeluaran stabil dan tidak naik mendadak.

"Kini harga pelitup muka sudah turun pada paras yang mampu milik berbanding ketika negara dilanda Covid-19 Mac 2020.

"Diharap harga pelitup muka akan terus stabil dan mampu dibeli orang ramai," katanya.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dilapor berkata, penangguhan itu mengambil kira maklum balas diterima daripada masyarakat umum dan pelbagai pihak.

Katanya, perintah itu diwartakan pada 5 April lalu sepatutnya berkuat kuasa pada 4 Julai ini, manakala Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik 2022 yang diwartakan pada tarikh sama berkuat kuasa pada 3 Ogos.

Pengilang dan pengimport kedua-dua produk berkenaan wajib membuat perakuan dan memperoleh penandaan MS Sirim daripada Sirim Qas International Sdn Bhd yang juga pihak berkuasa lantikan kementerian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 3:09 PM