GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan akan beroperasi setiap hari secara 24 jam sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya menjangkakan lebih dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya itu, dan R&R serta Hentian Sebelah milik konsesi sudah bersedia menerima lonjakan trafik berkenaan.

Katanya, kunjungan tertinggi dijangka pada tempoh 29 April hingga 9 Mei.

"Selama dua tahun, ramai antara kita tidak berpeluang untuk merayakan Aidilfitri bersama-sama keluarga di kampung.

"Apabila kita memasuki fasa peralihan endemik, rakan niaga kami di semua R&R dan hentian sebelah kini berpeluang untuk menjalankan perniagaan mereka seperti sedia kala dan menyajikan pelbagai hidangan lazat untuk dinikmati oleh semua pelanggan lebuh raya ketika mereka pulang ke kampung masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengingatkan semua pelanggan lebuh raya yang singgah di kawasan rehat supaya mematuhi SOP Covid-19 terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Katanya, PLUS juga akan mendapatkan khidmat pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) untuk mengurus trafik di kawasan rehat, manakala tandas tambahan dan lori tangki ditempatkan di R&R dan Hentian Sebelah bagi mengimbangi peningkatan jumlah pelanggan.

"Bagaimanapun, sekiranya kawasan rehat didapati terlalu padat dan sesak sehingga memberi kesan kepada kelancaran perjalanan trafik di lebuh raya, ia mungkin terpaksa ditutup sementara dan akan dibuka semula secepat mungkin selepas keadaan terkawal dan perjalanan trafik bergerak kembali stabil.

"Ketika langkah ini diambil, pelanggan lebuh raya dinasihatkan supaya terus ke kawasan rehat yang berikutnya atau berhenti di plaza tol berhampiran di mana tandas awam dan surau turut disediakan," katanya yang memberitahu 109 stesen minyak beroperasi sepanjang lebuh raya.

Bagi meraikan pengguna lebuh raya, PLUS turut menawarkan kopi percuma kepada pelanggan yang singgah di kawasan rehat terpilih, sebelum menyambung semula perjalanan mereka dalam keadaan yang lebih segar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 5:20 PM