GAMBAR hiasan. Restoran Jejantas Sungai Buloh. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Restoran Jejantas Sungai Buloh. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kawasan rehat dan rawat (R&R) kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersedia menerima kunjungan pelanggan di medan selera secara berperingkat mulai hari ini.

Ketua Pegawai Komersial PLUS, Christine Liew berkata, pengguna boleh menikmati makanan di medan selera yang beroperasi bermula hari ini di R&R Restoran Jejantas Sungai Buloh, Hentian Sebelah Simpang Pulai (arah selatan), Mambau (arah timur) dan Mambau (arah barat).

Katanya, lebih daripada 80 peratus rakan niaga di R&R sudah lengkap divaksin.

"Bermula esok pula medan selera di Hentian Sebelah Sungai Buloh (arah selatan) boleh digunakan.

"Pada Sabtu ini, R&R Dengkil arah utara dan selatan boleh digunakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pelanggan lebuh raya yang sudah menerima vaksin lengkap boleh menikmati makanan di tujuh lokasi berkenaan selepas beberapa negeri yang memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara.

"Kami teruja pelanggan kembali di R&R dan hentian sebelah bagi menikmati sajian hidangan panas dan berehat sebentar terutamanya selepas mengharungi perjalanan jauh.

"Dalam beberapa minggu lagi, kami akan mengumumkan lebih banyak lokasi di beberapa R&R kerana lebih ramai peniaga R&R akan memperoleh status vaksin lengkap dalam masa 14 hari akan datang," katanya.

Beliau berkata, PLUS menyeru pelanggan yang sudah menerima vaksin lengkap untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dengan menunjukkan status vaksinasi Covid-19 di Aplikasi MySejahtera untuk pengesahan ketika memesan makanan di gerai yang dikendalikan peniaga R&R.

Tambahnya, mereka yang mempunyai status vaksinasi lengkap akan menerima label pelekat hijau daripada peniaga R&R bagi membolehkan mereka menikmati makanan di medan selera R&R.

"Bagi pelanggan lebuh raya yang belum menerima vaksin lengkap masih boleh menikmati makanan dengan pembelian secara bawa pulang dari R&R.

"PLUS juga menyarankan mereka untuk menggunakan fungsi Pra-Pesanan menerus aplikasi PLUS yang boleh dimuat turun secara percuma atau melalui https://orderdisini.plus.com.my/ daripada peniaga dan pengusaha gerai R&R yang mengambil bahagian bagi meminimumkan interaksi.

"Pelanggan boleh memuat turun Aplikasi PLUS dengan mudah daripada Play Store bagi pengguna Android dan Apple App Store dan dapatkan maklumat terkini dan perkhidmatan lain kami dengan melayari www.plus.com.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 11:36 AM