KHEMAH persiapan majlis berbuka puasa yang dijangka dihadiri Menteri Besar Kedah rosak akibat ribut. FOTO ihsan APM
KHEMAH persiapan majlis berbuka puasa yang dijangka dihadiri Menteri Besar Kedah rosak akibat ribut. FOTO ihsan APM
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Hujan lebat lebih sejam berserta angin kencang yang melanda tiga mukim di daerah ini, hari ini, menyebabkan lapan rumah termasuk bangunan kerajaan terjejas.

Tiga mukim terbabit ialah Mukim Ayer Puteh, Mukim Bukit Raya dan Mukim Guar Kepayang.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, setakat ini lapan rumah dilaporkan rosak dalam kejadian jam 4.40 petang tadi.

Beliau berkata, tiga pejabat kerajaan termasuk pejabat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah Pendang juga dilaporkan rosak akibat kejadian itu.

"Selain itu khemah untuk persiapan majlis berbuka puasa yang dijangka dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor esok turut rosak akibat ribut.

"Lapan rumah yang dilaporkan terjejas iaitu masing-masing sebuah di Kampung Sukamari dan Kampung Alor Parit, dua di Kampung Belakang Pendang manakala empat di Kampung Tanjung Radin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Yuslina berkata, selain itu pihaknya turut menerima laporan pokok tumbang di beberapa kawasan seperti Batu Hampar, Kampung Tanjung Radin, Kampung Rambai, Alor Berala, Kampung Alor Pudak dan Pondok Gajah Mati.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 April 2022 @ 9:09 PM