MOHD Nasir (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada hampir enam juta batang rokok seludup yang dirampas dalam tiga serbuan. FOTO ihsan JKDM
MOHD Nasir (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada hampir enam juta batang rokok seludup yang dirampas dalam tiga serbuan. FOTO ihsan JKDM
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas hampir enam juta batang rokok seludup yang dianggarkan mencecah RM4 juta termasuk cukai dalam tiga serbuan.

Pengarah Kastam Negeri Kelantan, Mohd Nasir Deraman berkata, serbuan itu membabitkan daerah Kota Bharu, Pasir Mas dan Bachok dengan rampasan 583 peti.

Beliau berkata, rampasan pertama dilakukan pada 28 Mac lalu di sebuah rumah teres di Jalan Pasir Pekan, Pasir Mas, dekat sini pada jam 2.30 petang yang menemui 265 peti mengandungi pelbagai jenis rokok putih dan kretek dianggarkan bernilai RM1,786,291 termasuk duti dan cukai.

"Serbuan seterusnya dijalankan pada 10 April di Kampung Keluat, Tanjung Pauh, Bachok dengan nilai rampasan berjumlah RM118,400 membabitkan 148 peti yang mengandungi 1.48 juta batang rokok seludup.

"Rampasan terbaru pula dibuat pada Khamis lalu, jam 5.45 petang yang menemui 170 peti yang mengandungi 1.7 juta batang rokok seludup di Kampung Pantai Mek Mas, di sini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, modus operandi yang digunakan penyeludup adalah membawa masuk rokok putih melalui sempadan di Sungai Golok sebelum diedarkan kepada pelanggan tempatan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mengesan semua pemilik rokok seludup itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (d) Akta Kastam 1967.

Katanya, jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

"Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu kami memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti terbabit.

"Kami menyeru kepada orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri malah kami memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat dirahsiakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 5:54 PM