Manfaat ini dicapai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) di antara foodpanda Malaysia dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). - FOTO Perkeso
Manfaat ini dicapai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) di antara foodpanda Malaysia dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). - FOTO Perkeso
Nur Amirah Abd Rani

INISIATIF SPS Padanan Caruman untuk perlindungan keselamatan sosial di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) akan memanfaatkan kepada lebih 60,000 penunggang penyedia perkhidmatan penghantaran dalam talian, foodpanda Malaysia.

Manfaat ini dicapai melalui memorandum persefahaman (MoU) antara foodpanda Malaysia dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyedia dan memperluaskan liputan perlindungan sosial kepada lebih 60,000 rakan penghantarnya. 

MoU yang ditandatangani oleh Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah Urusan foodpanda Malaysia Sayantan Das turut disaksikan oleh Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan. 

Image

Saravanan berkata, SPS Padanan Caruman di bawah peruntukan Bajet 2022 merupakan satu insentif yang ditawarkan kepada orang bekerja sendiri (OBS) termasuk pekerja-pekerja gig bagi memastikan mereka dilindungi sekiranya berlaku sebarang kemalangan semasa menjalankan tugas.

"SKSPS merupakan satu skim yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk penyakit pekerjaan dan kemalangan semasa menjalankan aktiviti bekerja," katanya.

Antara faedah yang ditawarkan seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara dan Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat, Faedah Pendidikan dan Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional.

Menurut Mohammed Azman Aziz Mohammed, inisiatif SPS Padanan Caruman yang dilaksanakan Perkeso akan menawarkan 80 peratus (RM186.20) bantuan bersubsidi kepada OBS melalui SKSPS Perkeso untuk tempoh perlindungan setahun, manakala OBS hanya perlu membayar baki 20 peratus (RM46.60) sahaja. 

Tambah Das, menerusi kolaborasi strategik ini, foodpanda Malaysia turut menawarkan bantuan subsidi tambahan sebanyak 50 peratus yang perlu dibayar oleh rakan penghantarnya yang berjumlah RM23.30 bagi setiap individu, untuk tempoh perlindungan selama setahun.

"Kami berazam untuk melindungi rakan penghantar memandangkan mereka terdedah kepada persekitaran kerja yang berbahaya setiap hari. 

"Sebagai sebuah platform penghantaran terkemuka di Asia Pasifik dengan lebih 12.5 juta pelanggan dan 60,000 rakan restoran, foodpanda Malaysia berharap inisiatif yang diperkenalkan ini akan membantu mengurangkan bebanan mereka untuk membayar caruman bagi skim perlindungan Perkeso. 

"Misi kami adalah untuk menambah baik kualiti kehidupan komuniti B40 dengan menambah pendapatan melalui platform foodpanda sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi menerusi galakan digital dan teknologi, serta menjadi peneraju dalam ekonomi digital," tambah Das.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 5:11 PM