Belia sebagai tunas harapan negara sentiasa mendapat perhatian kerajaan dan ia dibuktikan menerusi pembentangan Belanjawan 2023 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari lalu yang menyaksikan pelbagai inisiatif untuk golongan berkenaan.

Menerusi peruntukan RM313 juta dalam Belanjawan 2023, kerajaan memberi kepercayaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan 10 inisiatif membabitkan program perlindungan keselamatan sosial dan pasaran buruh aktif.

Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar berkata, antara inisiatif perlindungan keselamatan sosial adalah SPS Padanan Caruman dilaksana agensi KSM iaitu Perkeso.

Menurut Sivakumar, SPS Padanan Caruman adalah dana padanan caruman kerajaan untuk meringankan beban golongan bekerja sendiri termasuk belia dalam pelbagai sektor untuk mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Katanya, inisiatif SPS Padanan Caruman diperkenal kerajaan pada 2020 di mana 80 peratus daripada bayaran setahun pelan caruman dua SKSPS dibiayai kerajaan manakala 20 peratus lagi dibayar individu bekerja sendiri.

Ini bermakna kerajaan membayar RM186.20 atau 80 peratus daripada bayaran caruman setahun sebanyak RM232.80 dan orang bekerja sendiri (OBS) hanya perlu membayar RM46.60 sahaja atau 20 peratus caruman bagi mendapatkan perlindungan selama 12 bulan.

Sivakumar menerangkan di bawah peruntukan Belanjawan 2023, ada 11 kumpulan sasar dalam inisiatif SPS Padanan Caruman dikategorikan sebagai SPS Jaja 2.0, SPS Asal 2.0, SPS Seni 2.0, SPS Lain Upaya 2.0, SPS Usahawanita 2.0, SPS Gig 3.0, SPS Agro, SPS Joran, SPS Sukan, SPS Didik dan SPS Servis.

"Sehingga kini, 20,077 OBS mencarum di bawah SPS Padanan Caruman," katanya.

Selain SPS Padanan Caruman, satu lagi inisiatif perlindungan SKSPS di bawah peruntukan Belanjawan 2023 adalah SPS Madani membabitkan pembiayaan penuh kerajaan.

"SPS Madani adalah pembiayaan 100 peratus daripada kerajaan bagi pelan caruman dua SKSPS berjumlah RM232.80 untuk perlindungan selama 12 bulan.

"Kumpulan sasar SPS Madani adalah sukarelawan tentera, polis, bomba, angkatan pertahanan awam, maritim dan lain-lain," katanya.

Menurutnya, sehingga kini 69,463 OBS mencarum di bawah SPS Madani.

Sivakumar menerangkan, di bawah inisiatif SPS Madani, individu dari golongan sasar, contohnya seorang anggota sukarelawan Polis Diraja Malaysia (PDRM) layak menerima perlindungan setahun SKSPS tanpa membayar apa-apa kerana beliau menerima 100 peratus pembiayaan caruman daripada kerajaan.

Beliau menambah, semua individu bekerja sendiri termasuk belia dalam 20 sektor informal yang disenaraikan PERKESO layak mendapat perlindungan keselamatan sosial di bawah SKSPS. 

Lapan faedah disediakan di bawah skim ini iaitu faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, elaun layanan sentiasa, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional dan kemudahan pinjaman pendidikan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, setakat ini, sambutan diterima golongan belia terhadap SPS Padanan Caruman agak memberangsangkan.

"Ini dapat dilihat dari peningkatan penyertaan mereka dalam SKSPS saban tahun dengan Penjana Gig (2020) merekodkan 20,310 orang pencarum, SPS Lindung (2021) dengan 265,732 pencarum dan SPS Wanita (2021) dengan 21,350 pencarum.

"Tahun lalu, SPS Wanita merekodkan 103,119 pencarum dan SPS Padanan Caruman pula 358,44 pencarum," katanya.

Beliau menambah, kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia dengan Kementerian Pengangkutan yang bersetuju menetapkan pelaksanaan prasyarat daftar SKSPS terhadap pemohon lesen vokasional dan lesen pengendali adalah pendekatan positif bagi memastikan jaminan perlindungan Perkeso untuk OBS di bawah sektor pengangkutan penumpang serta sektor pengangkutan dan penghantaran barangan atau makanan.

Selain inisiatif Belanjawan, Mohammed Azman berkata, Perkeso kini dalam proses mewajibkan OBS di bawah 20 sektor informal mencarum dengan SKSPS bagi memperluas jaminan keselamatan sosial kepada OBS di negara ini.

Adalah penting bagi OBS mempunyai perlindungan keselamatan sosial secara berterusan untuk melindungi diri dan keluarga jika sesuatu bencana berkaitan pekerjaan menimpa mereka.

"Caruman dibuat meringankan beban termasuk belia yang perlu menanggung kos perubatan yang makin meningkat.

"Harapan Perkeso supaya orang ramai dapat membantu promosikan perlindungan SKSPS kepada rakan-rakan bekerja sendiri dalam komuniti.

"Pendekatan ambil cakna hal perlindungan dan kebajikan mereka akan membantu mengurangkan beban dan risiko golongan yang mudah terdedah itu yang berhadapan masalah kewangan jika terbabit dengan kemalangan berkaitan aktiviti pekerjaan sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2023 @ 9:11 PM