Murid tahun lima menjalani sesi pembelajaran di dalam kelas mengikut SOP yang ditetapkan di Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Murid tahun lima menjalani sesi pembelajaran di dalam kelas mengikut SOP yang ditetapkan di Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Pengoperasian sekolah secara bersemuka tanpa penggiliran membabitkan empat negeri hari ini, berjalan lancar dan teratur.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, 130,177 pelajar dan murid yang sebelum ini terbabit dengan sistem penggiliran bagi kumpulan A kembali hadir seperti biasa, manakala kumpulan B akan bermula esok membabitkan 416,000 murid dan pelajar.

Katanya, berdasarkan tinjauan dan maklum balas pihak sekolah hari ini, segalanya berjalan lancar sama ada Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK).

"Alhamdulillah hari ini adalah tarikh cukup bersejarah buat Kementerian Pendidikan (KPM) apabila pengoperasian sekolah secara bersemuka kembali seperti biasa tanpa sistem penggiliran.

"Tinjauan dan maklum balas pihak sekolah mendapati, semua pihak sama ada guru, ibu bapa serta pelajar masing-masing memberi kerjasama sebaiknya.

"Sebagaimana yang kita sentiasa tekankan, pembukaan sekolah perlu dilakukan secara progresif iaitu dimulakan secara berperingkat sebelum ianya dibuka seperti biasa secara kekal.

"Untuk mencapai hasrat itu, kita memohon semua pihak sama ada guru, ibu bapa dan pelajar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pada masa sama kita akan membuat pemantauan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pengoperasian sekolah tanpa penggiliran di SK Seri Ketereh di sini, hari ini.

Radzi berkata, secara keseluruhan, lebih 5 juta pelajar dan murid akan kembali ke sekolah seperti biasa sebagaimana sebelum pandemik Covid-19, mulai esok.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 11:19 AM