OSMAN (dua kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
OSMAN (dua kiri) menunjukkan daun ketum yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Dibayar RM2,000 sebagai upah, seorang lelaki bertindak berani menghantar 36 beg daun ketum seberat 360 kilogram (kg) dari Kedah ke Seremban.

Namun tindakannya itu akhirnya mengundang padah apabila dia ditahan polis dari unit Peronda Lebuh Raya Bandar Bahru-Changkat Jering, di Kilometer 212.1, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata sekitar jam 8.15 pagi ketika menjalankan rondaan Ops Cegah Jenayah di KM 212.1, pihaknya terserempak kenderaan jenis Toyota Fortuner yang bercermin gelap dan mencurigakan dipandu seorang lelaki berusia 40 warga berbangsa Siam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya menemukan 18 beg plastik berwarna hitam berada di bahagian tempat duduk belakang dan 18 beg lagi di bahagian but kereta tersebut.

"Kesemua 36 bungkusan itu mengandungi tumbuh-tumbuhan dipercayai daun ketum seberat 360 kilogram.

"Pihak polis segera menahan suspek dan merampas kesemua daun ketum itu yang dianggarkan bernilai pasaran RM7,200.

"Suspek kini direman selama empat hari sehingga Isnin ini dan kes di siasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya dalam sidang media.

Osman berkata hasil semakan mendapati suspek seorang duda dan tidak memiliki sebarang rekod jenayah lampau malah baru sebulan terbabit dengan aktiviti penjualan ketum

Tambahnya lagi difahamkan sudah enam kali suspek berbuat demikian namun kali ini tindakannya berjaya dihidu pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 2:17 PM