SAHARUDDIN meninjau harga makanan peniaga bazar semasa Op Pantau di Bazar Ramadan Batu Burok. FOTO Ghazali Kori
SAHARUDDIN meninjau harga makanan peniaga bazar semasa Op Pantau di Bazar Ramadan Batu Burok. FOTO Ghazali Kori
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri menafikan dakwaan penjual ayam segar yang menuduh tindakan hanya dikenakan terhadap peniaga dan bukannya kepada pemborong.

Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia berkata, seorang pemborong dan 17 penjual ayam dikenakan kompaun berjumlah RM6,600 atas kesalahan menjual ayam melebihi harga ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, pemborong dan penjual ayam itu didapati bersalah menjual harga ayam melebihi harga ditetapkan kerajaan ketika Op Pantau 2022 diadakan bermula Sabtu hingga semalam.

Katanya, KPDNHEP negeri melakukan 1,935 pemeriksaan ke atas pemborong dan penjual ayam di seluruh negeri dalam tempoh lima hari bermula Sabtu lalu.

"Daripada jumlah keseluruhan pemeriksaan, kita menemui satu kes kesalahan membabitkan pemborong dan 17 lagi membabitkan penjual ayam," katanya.

Terdahulu, Saharuddin melakukan pemeriksaan dan tinjauan harga makanan serta minuman di bazar Ramadan Batu Burok, di sini, semalam.

Saharuddin berkata, jumlah keseluruhan pemborong ayam berlesen di seluruh negeri hanya enam syarikat dan Terengganu tidak mempunyai peladang ternakan ayam.

"Kita akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri menerusi Op Pantau 2022.

"Op Pantau dilakukan bertujuan memastikan rakyat berada dalam keadaan selesa dan mudah untuk mendapatkan bekalan makanan serta keperluan harian pada harga berpatutan pada Ramadan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata, ketika pemeriksaan dilakukan di bawah Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) diadakan sejak 5 Februari lalu, seorang pemborong dan 41 peniaga dikenakan tindakan kompaun berjumlah RM96,100 atas kesalahan menaikkan harga barangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 3:31 PM