GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Seramai 128,368 individu dewasa berusia 18 tahun ke atas yang mengambil vaksin primer Sinovac di Kelantan masih belum mendapatkan suntikan dos penggalak sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah individu yang mengambil vaksin Sinovac untuk dua dos adalah berjumlah 269,260 orang.

Katanya, sebanyak 140,892 atau 52 peratus daripada mereka yang mengambil vaksin Sinovac sudah mengambil suntikan dos penggalak.

"Baki 48 peratus itu belum menerima dos penggalak dan kita berharap mereka mendapatkan suntikan berkenaan di fasiliti kesihatan yang berdekatan.

"Jumlah keseluruhan individu dewasa yang menerima suntikan dos penggalak di negeri ini sehingga semalam adalah 321,554 dos atau 25.5 peratus," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Zaini berkata, pengambilan dos penggalak di Kelantan masih rendah berikutan kebanyakan mereka beranggapan dengan mengambil dua dos suntikan primer sebelum ini sudah mencukupi.

Beliau berkata, untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid-19 yang lebih teruk, mereka dinasihatkan mengambil dos penggalak.

"Pada masa yang sama, jumlah individu yang mengambil vaksin primer lain termasuk Pfizer adalah seramai 728,312 dan hanya 173,506 orang sahaja atau 23 peratus yang mendapatkan dos penggalak.

"Walaupun suntikan dos penggalak ini kurang mendapat sambutan, namun pihak JKNK sentiasa memberi peringatan dan nasihat kepada penduduk Kelantan supaya segera mendapatkan suntikan bagi melindungi diri serta kesihatan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 11:29 AM