Suasana lengang di pusat beli belah tumpuan warga Singapura di sebalik pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura semalam.  FOTO FARID NOH
Suasana lengang di pusat beli belah tumpuan warga Singapura di sebalik pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura semalam. FOTO FARID NOH
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kawasan tumpuan pengunjung Singapura di sekitar bandar raya ini masih lengang dan tidak ramai pengunjung di sebalik pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura semalam.

Tinjauan di beberapa pusat beli belah tumpuan warga Singapura terutama di Taman Abad dan Taman Pelangi di sini, mendapati suasananya masih suram serta lengang.

Pusat beli belah di Taman Abad yang menjadi antara lubuk utama warga Singapura mendapatkan perkhidmatan salon rambut, kuku dan urutan refleksologi masih belum dikunjungi warga republik terbabit.

Puluhan salon rambut dan kuku di situ kelihatan kosong dengan pekerja mereka berdiri di hadapan premis menyapa pengunjung bagi mendapatkan perkhidmatan di premis masing-masing yang kosong.

Seorang pengusaha salon rambut yang mahu dikenali sebagai Reggie Ng berkata, beliau dan lebih enam pekerjanya sudah bersiap-sedia menyambut pengunjung Singapura selain tempatan, namun sedikit hampa berikutan sambutan yang hambar.

"Saya jangka ramai pengunjung Singapura akan berpusu-pusu tetapi setakat tengah hari ini, kami masih tidak menerima seorang pun pelanggan, apatah lagi dari Singapura," katanya ditemui.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBha) Johor Jarod Chia berkata, 109 ahli hotel bajet di negeri ini turut meluahkan pandangan sama iaitu masih tidak ramai pelancong Singapura masuk ke Johor walaupun sempadan dibuka semalam.

Katanya, menerusi pemerhatiannya, ribuan individu dan kenderaan yang dilapor merentasi Tambak Johor sejak tengah malah semalam, adalah pekerja Malaysia yang terkandas dan sudah lama tidak pulang.

"Di hotel kelolaan saya juga, hanya ada dua pelancong Singapura yang tiba semalam walaupun jangkaan kita, akan ramai pelancong Singapura masuk ke sini.

"Begitu juga hotel ahli MyBHA yang menyatakan masih tidak ramai pelancong Singapura yang masuk ke bandar raya atau kawasan pelancongan negeri ini," katanya.

Menurutnya, dia ada bertanyakan kepada pelancong Singapura yang menginap di hotel kelolaannya berkaitan perkara itu.

Katanya, pelancong berkenaan menyatakan, masih ramai rakyat Singapura mengambil sikap tunggu dan lihat berikutan mahu meneliti prosedur operasi standard (SOP) kemasukan ke Malaysia terlebih dahulu.

"Kita jangkakan rakyat Singapura akan kembali apabila melihat SOP kemasukan yang mudah apatah lagi proses kemasukan rakyat Malaysia semalam, pun dilaporkan lancar dan hampir tiada yang diarahkan berpatah balik," katanya.

Jarod berkata, MyBHA menjangkakan kemasukan besar-besaran pengunjung Singapura akan bermula pertengahan Ramadan ini dan memuncak ketika Aidilfitri nanti.

"Pada Ramadan, biasanya pengunjung Singapura mahu membeli barangan persiapan berbuka namun Aidilfitri nanti, kita jangkakan tempahan hotel bajet akan kembali normal seperti sebelum pandemik," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 4:07 PM