Tinjauan di kaunter imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam yang kelihatan lengang walaupun kerajaan Malaysia telah membuka semula sempadan negara sejak 1 April lalu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Tinjauan di kaunter imigresen ICQS Bukit Kayu Hitam yang kelihatan lengang walaupun kerajaan Malaysia telah membuka semula sempadan negara sejak 1 April lalu. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
M Hifzuddin Ikhsan


Bukit Kayu Hitam: Pelbagai syarat dan bayaran yang dikenakan bagi memasuki Thailand menyebabkan ramai rakyat tempatan memilih untuk tidak berkunjung ke negara jiran itu buat masa ini.

Tinjauan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam mendapati, suasana di pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand itu masih lengang dengan kehadiran orang ramai.

Difahamkan, keadaan ini disebabkan proses kemasukan yang masih ketat dikenakan pihak berkuasa Thailand, selain pengembara yang mahu masuk ke negara itu perlu membayar sekurang-kurangnya RM1,000 sebelum dibenarkan masuk.

Keadaan itu sama sekali berbeza berbanding sebelum pandemik Covid-19 melanda apabila kawasan Bukit Kayu Hitam sentiasa dipenuhi pelancong dan bas ekspres selain kegiatan ekonomi turut rancak di kawasan sekitarnya.

Bagi pengusaha syarikat pelancongan tempatan, Ooi Jui Hua, 32, dia bersama tiga rakannya terpaksa mengeluarkan belanja kira-kira RM5,000 termasuk menempah hotel di Hattyai secara dalam talian sebelum masuk ke Thailand.

Katanya, selain itu, mereka juga perlu membeli insurans perubatan bernilai RM84,536 dengan bayaran premium dikenakan adalah kira-kira RM500 setiap seorang bagi tempoh tujuh hari.

"Bayaran RM500 itu adalah paling murah, jika mahu berada lebih lama di Thailand, pelancong perlu bayar premium lebih tinggi kepada syarikat insurans mengikut berapa hari kita mahu berada di sana.

"Selain itu, kami juga perlu tanggung kos melakukan ujian saringan RTK yang perlu dibuat sebaik tiba di hotel penginapan ditetapkan dengan bayaran kira-kira RM350 seorang," katanya.

Minggu lalu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada kenyataan memaklumkan, hanya 6,980 pergerakan warga asing direkodkan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, berbanding 160,818 di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru, Johor setakat 4 April lalu.

Selain itu, media turut melaporkan suasana lengang di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam pada hari pertama pembukaannya pada 1 April lalu, dan kebanyakan pergerakan membabitkan warga Thailand yang mengambil peluang pulang ke negara mereka.

Bagi operator insurans kenderaan Thailand, Lee Ai Choo, 47, kesan pembukaan semula sempadan sejak 1 April lalu, masih tidak dirasai perniagaannya yang banyak bergantung kepada kemasukan pelancong Malaysia ke Thailand.

"Setakat ini, sebahagian besar pengembara yang melalui ICQS Bukit Kayu Hitam tidak menggunakan kenderaan sendiri, sebaliknya mereka dijemput ahli keluarga atau rakan yang menunggu di pintu masuk.

"Saya jangka jika kerajaan Thailand melonggarkan syarat kemasukan ke negara itu, jumlah pengembara yang keluar masuk akan ramai, sekali gus dapat merancakkan kembali kegiatan perniagaan di sempadan," katanya yang memiliki premis di Changlun.

Bagi pengusaha kedai makan di Napoh, Abdul Rashid Mohd Salam, 55, perniagaannya masih banyak bergantung kepada pelanggan tempatan selain pemandu treler yang berulang alik antara Malaysia-Thailand.

"Belum ada apa-apa rasa (kesan ekonomi), kebanyakan pelanggan masih penduduk sekitar kawasan ini. Sepanjang Ramadan ini, kedai kami dibuka bermula jam 4 petang sehingga malam sahaja.

"Tiada guna buka kedai awal kerana tiada pelanggan, malah saya sendiri belum lihat ada pelancong asing singgah di pekan Napoh setakat ini, kecuali pemandu lori," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2022 @ 3:53 PM