JOHOR BAHRU. 1 APRIL 2022. Aliran trafik di Tambak Johor lengang dan lancar pada hari pertama pembukaan sempadan hari ini, berbanding malam tadi. STR/OMAR AHMAD
JOHOR BAHRU. 1 APRIL 2022. Aliran trafik di Tambak Johor lengang dan lancar pada hari pertama pembukaan sempadan hari ini, berbanding malam tadi. STR/OMAR AHMAD
Omar Ahmad.


Johor Bahru: Suasana Tambak Johor sejak awal pagi tadi hingga tengah hari ini lengang dan aliran trafik berjalan lancar tanpa ada sebarang kesesakan di kedua hala jalan menuju masuk kedua-dua negara.

Tinjauan NSTP di Panggung Opera Permaisuri Zarith Sofiah yang terletak berhadapan Tambak Johor hanya kelihatan kenderaan berat seperti lori dan bas, selain beberapa kumpulan individu berjalan menyeberang Tambak Johor dari Singapura untuk ke CIQ di Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Manakala tinjauan di JB Sentral yang merupakan satu-satunya pintu keluar masuk ke Kompleks Pemeriksaan Kastam dan Imigresen ( CIQ) di BSI di sini, pula dilihat kembali meriah dengan kepulangan ratusan rakyat Malaysia yang mula tiba sejak awal pagi.

Terdapat deretan kenderaan yang menunggu ahli kepulangan saudara-mara dibahu jalan, namun tiada kesesakan trafik dilaporkan dikawasan itu.

Malah kawalan keselamatan oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut kelihatan di sekitar JB Sentral.

Kepulangan ratusan pengembara yang kebanyakanya pekerja Malaysia di republik itu susulan pembukaan sepenuhnya sempadan Malaysia- Singapura dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan termasuk tidak perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan Covid-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menyatakan terdapat kira-kira 400,000 rakyat Malaysia berulang alik dari Johor ke Singapura setiap hari sebelum pandemik Covid-19 bermula.

Katanya, kerajaan negeri menjangkakan hampir 400,000 orang dijangka menggunakan laluan darat antara Malaysia dan Singapura melalui Tambak Johor dan Linkedua, pada minggu pertama pembukaan semula sempadan negara.

Beliau berkata kesemua kaunter di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) iaitu di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini, dan Bangunan Sultan Iskandar di akan beroperasi sepenuhnya, bagi mengelakkan berlakunya kesesakan.

Manakala Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkenan supaya 130 sukarelawan Southern Volunteers, ditempatkan di kedua-dua CIQ tersebut untuk membantu rakyat Malaysia dan pengembara sekali gus memudahkan urusan mereka nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 12:49 PM