Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan melaksanakan formula baharu pertukaran syif di pintu keluar masuk laluan darat membabitkan Tambak Johor dan Gelang Patah, bagi memastikan semua kaunternya dibuka ketika waktu puncak.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, langkah melaksanakan formula baharu itu amat penting bagi memastikan tiada kesesakan berlaku ketika waktu puncak berikutan tiada kakitangan di kaunter disebabkan berlakunya pertukaran syif pekerja.

"Isu berbangkit di dua pintu masuk laluan darat membabitkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah, adalah isu pertukaran syif kakitangan Imigresen pada 7 pagi.

"Ia dibangkitkan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi beberapa tinjauan yang dilakukan bersama JIM.

"Kita akui waktu pertukaran syif 7 pagi itu adalah waktu kritikal berikutan waktu puncak di kedua-dua pintu masuk laluan darat adalah bermula 5 hingga 8 pagi. Sebarang pertukaran syif di waktu puncak diakui berupaya merencatkan keupayaan kaunter terus dibuka sekali gus akan menyebabkan kesesakan.

"Oleh itu, JIM sedang meneliti formula baharu pertukaran syif 7 pagi ini termasuk memperkenalkan formula baharu syif ditukar di luar waktu puncak. Insya-Allah, formula baharu ini akan diumumkan minggu hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau CIQ BSI, di sini, awal pagi tadi.

Dalam pada itu, Ruslin berkata, CIQ BSI kekurangan hampir 300 kakitangan lagi bagi membolehkan JIM melaksanakan pembukaan semua 284 kaunter secara maksimum pada waktu puncak.

Katanya, ketika ini, CIQ BSI mempunyai 1,074 kakitangan Imigresen berbanding keperluan kakitangan iaitu 1,347.

Bagaimanapun katanya, JIM akan menempatkan 100 lagi kakitangan baharu di CIQ BSI, akhir Mei ini, susulan sebanyak 231 rekrut Imigresen bakal tamat latihan pada 20 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 10:25 AM