Omar Ahmad


Johor Bahru: Tempoh perjalanan ke Singapura dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Tambak Johor, di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dekat Gelang Patah, dilihat lebih singkat 30 minit berbanding sebelum ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyifatkan ia satu perkembangan baik di dua pintu masuk utama negara di Johor.

Katanya, pada awal pagi, dapat dilihat perjalanan pengembara terutama pekerja Malaysia yang bekerja di Singapura secara berulang alik berjalan lancar.

"Setiap pagi seawal jam 4 pagi, mereka (pekerja Malaysia di Singapura) sudah melalui CIQ, dan sebelum ini mengambil masa satu jam untuk ke tempat kerja tetapi saya lihat sekarang perjalanan mereka dapat dipendekkan iaitu 30 minit.

"Alhamdulillah, kita sedang menangani isu kesesakan dan ia menandakan salah satu usaha yang memperlihatkan kemajuan, saya mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan jabatan yang terbabit dalam isu perhubungan dua negara ini.

"Tambak Johor menjadi antara jambatan penghubung tersibuk di dunia dengan anggaran berpuluh ribu kenderaan akan melalui jalan ini seawal jam 4 pagi hingga lewat malam, setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Perniagaan Johor - Korea 2023 di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han; Duta Besar Republik Korea ke Malaysia, Yeo Seung-bae serta 60 delegasi Korea Selatan terdiri daripada komuniti usahawan.

Onn Hafiz berkata, selain masalah kesesakan di pintu masuk, kerajaan negeri juga komited untuk menyelesaikan beberapa isu kepentingan awam yang membelenggu rakyat negeri ini sejak sekian lama selewat-lewatnya tahun depan.

Katanya ia termasuk masalah jalan berlubang dan jaringan Internet.

"Pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri sedang bekerjasama dalam memastikan perkara itu terlaksana selari dengan inisiatif Johor Maju 2030.

"Baru-baru ini, saya semakin dikenali ramai bukan disebabkan rupa yang 'handsome' tetapi kerana tular di media sosial dalam usaha menyelesaikan kesesakan di BSI dan KSAB.

"Selain itu, kerajaan negeri juga turut memberi tumpuan kepada usaha membaikpulih jalan raya berlubang di negeri ini, serta jaringan internet, kita usaha atasi selewat-lewatnya tahun depan," katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, Onn Hafiz dilihat kerap melakukan lawatan kerja sama ada secara mengejut atau bersama agensi berkaitan ke CIQ di BSI dan KSAB dalam memastikan proses merentas sempadan antara kedua-dua negara lancar.

Dalam tinjauan itu, beliau turut mengenal pasti masalah sama ada secara teknikal dan sumber manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 5:28 PM