GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Sebanyak RM33 juta tunggakan bil Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terkumpul sehingga Februari tahun ini, disebabkan kegagalan penduduk membuat pembayaran.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor berkata, keseluruhan pengguna AKSB di Kelantan adalah seramai 271,876 orang.

"Jumlah tunggakan sehingga Februari lalu sebanyak RM33 juta dan angka berkenaan sangat tinggi.

"Justeru, saya memohon mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang turun padang supaya memaklumkan kepada rakyat untuk membayar bil air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Rohani Ibrahim (Pas-Tanjong Mas) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Rohani bertanyakan sejauh manakah program penukaran paip Asbestos Cement (AC) yang berusia melebihi 35 tahun dengan kos RM1.3 bilion bermula 2018 hingga 2030 sedang berjalan.

Berhubung projek berkenaan, Azami yang juga Adun Kadok berkata, panjang paip yang berusia 35 hingga 40 tahun yang perlu ditukar adalah 4,006 kilometer.

"Menerusi program pertukaran paip menerusi pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), bagi 2018, kita menyiapkan 241 kilometer untuk tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Gua Musang dan Tumpat.

"Pada 2019 pula, kita menyiapkan sepanjang 225 kilometer membabitkan empat daerah iaitu Kota Bharu, Tanah Merah, Kuala Krai dan Machang.

"Untuk makluman, pinjaman berkenaan perlu dibayar dan salah satu punca hasil AKSB adalah apabila pelanggan membayar bil air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2022 @ 10:23 AM