FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Bekalan air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini, sering terganggu disebabkan permintaan tinggi di kawasan agihan dari Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Puteh dan LRA Tanjong Mas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor berkata, situasi itu diburukkan lagi oleh kadar air tak terhasil yang tinggi iaitu melebihi 50 peratus.

Katanya, purata agihan air terawat semasa ke HRPZ II adalah sekitar 1.5 juta liter sehari (JLH) ke sembilan tangki iaitu jauh lebih rendah daripada permintaan iaitu 3.0 JLH berasaskan storan air selama dua hari.

"Bagi mengatasi masalah itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaksanakan program khidmat masyarakat dengan membina sebuah tangki sedutan bawah tanah berkapasiti 3.5 meter padu.

"Ia sudah beroperasi sejak November tahun lalu yang membekalkan air terawat ke blok wad lama, penghantaran melalui lori tangki Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebanyak enam perjalanan sehari iaitu sehingga 48 meter padu.

"Selain itu, paip baharu sepanjang 60 kilometer (km) dipasang di bandar ini melalui projek penukaran paip di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang dijangka siap pada April. Ia mampu menyelesaikan 60 peratus daripada masalah bekalan air terawat di HRPZ II," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azami berkata, projek itu juga berjaya menyambungkan paip baharu dan meningkatkan aliran serta tekanan air ke tangki di blok wad lama, tangki unit sajian dan dietetik serta blok fasa 1.

Selain itu, bagi mengatasi gangguan bekalan air terawat, AKSB akan membina paip khusus dari Tangki Merbau ke HRPZ II dengan anggaran kos RM800,000.

"Sebuah telaga tiub berkapasiti 1.5 JLH juga dibina bagi menambah sumber air mentah ke LRA Kampung Puteh dan seterusnya akan meningkatkan agihan bekalan air terawat ke Tangki Merbau.

"Projek LRA Kampung Telok pula dijangka siap Mei ini dengan kapasiti air 30 JLH dan projek penambahan sumber air mentah sebanyak 10 JLH dari Medan Telaga Tok Jaafar ke LRA Pintu Geng pada Ogos yang mampu mengatasi gangguan bekalan air.

"Kita berharap HRPZ II dapat menjalankan audit ke atas penggunaan air terawat di premisnya berdasarkan 11 akaun dan meningkatkan kecekapan agihan air," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, masalah bekalan air membelenggu HRPZ II di sini, sehingga menjejaskan operasi harian hospital berkenaan sejak lebih 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 6:04 PM