GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO ARKIB NSTP
Omar Ahmad


Johor Bahru: Sebanyak 2,817 tapak perniagaan di 48 lokasi bazar Ramadan dan Aidilfitri diluluskan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tahun ini.

Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, 31 wakil penganjur bazar Ramadan dan Aidilfitri sudah diberi penerangan oleh Jabatan Pelesenan MBJB dan SW Corporation.

Katanya, penerangan diberi berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan penganjuran bazar berjalan lancar.

"Kemeriahan bazar Ramadan dan Aidilfitri antara yang ditunggu-tunggu oleh semua pihak dan ia juga menghidupkan lagi suasana Ramadan.

"Tahun ini, 44 lokasi bazar Ramadan dan empat lokasi bazar Aidilfitri telah diluluskan penganjurannya membabitkan 2,817 tapak perniagaan," katanya di Menara MBJB di sini, hari ini.

Antara lokasi bazar Ramadan ialah di Jalan Padi Mahsuri 22 dan Jalan Padi Ria 13, Bandar Baru Uda serta Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir.

Lokasi bazar Aidilfitri pula antaranya di Tebing Dato' Onn dan juga Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC).

Menurut Mohd Noorazam, semua peniaga perlu menjaga kebersihan dan mematuhi SOP pencegahan Covid-19 yang masih berkuat kuasa.

"Peniaga diwajibkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dengan sempurna, memakai apron dan sarung tangan pakai buang sepanjang menyediakan juadah makanan.

"Peniaga juga dilarang menggunakan bekas polisterin dan surat khabar untuk membungkus makanan," katanya.

Pada masa sama, pengunjung digalakkan untuk membawa bekas makanan dan membungkus juadah berbuka bagi menggalakkan budaya dan amalan rendah karbon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2022 @ 12:53 PM