TAN Sri Annuar Musa. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
TAN Sri Annuar Musa. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
Rosyahaida Abdullah


DRAF piagam dan memorandum persefahaman (MoU) Muafakat Nasional akan diperincikan susulan penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam gabungan itu seperti diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, penyertaan itu secara prinsipnya sudah disepakati bersama selepas Muafakat Nasional sendiri menawarkan Bersatu untuk menyertai gabungan terbabit sebelum ini.

"Dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu (Muafakat Nasional), kita membuat keputusan untuk menghulurkan tangan secara rasmi kepada Bersatu Khamis lalu bagi menyertai Muafakat Nasional.

"Susulan kenyataan rasmi Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sudah menyatakan persetujuan itu akan dimurnikan menerusi perincian piagam, MoU dan sebagainya," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai kenyataan Presiden Interim Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mempersoalkan sama ada Muafakat Nasional akan melantik Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi.

Muhyiddin semalam mengumumkan Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bersetuju menyertai Muafakat Nasional yang mendokong PN sebagai gabungan besar.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, Muafakat Nasional sebelum ini dijemput menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi sebagai entiti parti yang kemudiannya perkara itu dibawa ke majlis tertinggi dan Muafakat Nasional.

Bagaimanapun kata beliau, Muafakat Nasional berpendirian untuk tidak berhasrat menjadi ahli kepada satu lagi parti politik memandangkan Umno dan Pas sudah mempunyai gabungan.

Justeru katanya, keputusan Muafakat Nasional adalah kekal mendokong kerajaan PN serta kepimpinan Muhyiddin, namun tidak berhasrat menjadi ahli jika PN ingin didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

"Muafakat Nasional kemudian menawarkan Bersatu menyertai kami yang dizahirkan sendiri oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden Pas) sebelum kita dimaklumkan Majlis Tertinggi Bersatu sudah berbincang mengenai perkara itu.

"Ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyatakan kesediaan untuk terima pandangan kita iaitu Bersatu menyertai sekali gus menjadi anggota Muafakat Nasional, itu persetujuan lisan yang diperoleh.

"Berita itu kemudian dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu oleh Datuk Seri Mohamad Hasan (Timbalan Presiden Umno) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Timbalan Presiden Pas) dan dibincangkan sebelum kita putuskan untuk hulurkan tangan kepada mereka untuk sertai Muafakat Nasional," katanya.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Muafakat Nasional kini sudah berhijrah jauh ke hadapan dalam politik Malaysia dengan mengamalkan konsep ta'awun dan ta'ayush.

"Ta'awun iaitu daripada bergaduh kepada bekerjasama dan Ta'ayush iaitu menghormati prinsip co-existence (kewujudan bersama).

"Melalui konsep ini, Bersatu, Umno dan Pas meraikan kewujudan bersama dan tidak timbul soal perebutan berkenaan jawatan pengerusi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 2:54 PM