Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Penunggang motosikal yang menyebabkan kematian seorang lagi penunggang motosikal lain di kilometer 58, Jalan Batu Pahat - Mersing di sini, malam tadi, sedang diburu.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, suspek yang tidak dapat dikenal pasti identitinya dipercayai menunggang secara melulu hingga melanggar mangsa berusia 47 tahun yang menunggang motosikal Suzuki RCI 10S.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu mangsa parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia pada 9.45 malam di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini.

"Ketika kejadian, mangsa dari arah Mersing menghala ke Kluang terlanggar sebuah motosikal yang secara tiba-tiba melintas dari arah kanan jalan ke kiri jalan.

"Bagaimanapun, ketika siasatan dijalankan suspek tiada di tempat kejadian dipercayai melarikan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menyalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang di talian 07-7784222.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM20,000.

"Seseorang yang disabitkan di bawah Seksyen ini hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang daripada tiga tahun dari tarikh sabitan," katanya.

Terdahulu, itu, tular klip video menunjukkan suspek yang terjatuh akibat pelanggaran itu dilihat tergesa-gesa melarikan diri manakala mangsa dilihat terbaring di atas jalan raya di lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 4:46 PM
TANGKAP layar dari video tular menunjukkan suspek (dalam bulatan) melarikan diri selepas terbabit kemalangan. FOTO tular
TANGKAP layar dari video tular menunjukkan suspek (dalam bulatan) melarikan diri selepas terbabit kemalangan. FOTO tular