Dr Noraini Ahmad berucap ketika persidangan Wanita UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO HAIRIL ANUAR RAHIM
Dr Noraini Ahmad berucap ketika persidangan Wanita UMNO di Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. FOTO HAIRIL ANUAR RAHIM
Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kebenaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disambut baik ketua sayap Umno.

Mereka menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan masalah rakyat serta mendengar keluhan yang disuarakan sebelum ini.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pandemik yang melanda negara dua tahun lalu masih memberi kesan mendalam kepada kehidupan seharian kita termasuklah wanita.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri yang begitu prihatin dengan keresahan hidup rakyat dengan membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

"Pastinya, ia memberi satu rahmat dan kelegaan yang besar kepada rakyat yang sedang berusaha untuk memulihkan kehidupan mereka," katanya dalam ucapan dasar pada Persidangan Wanita Umno hari ini.

Ucapan sama turut dizahirkan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang bersyukur dengan keputusan yang dibuat biarpun ditentang.

"Mujurlah Perdana Menteri kini Naib Presiden kita yang berani buat keputusan walaupun kuat ditentang. Terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri yang meluluskan pengeluaran KWSP RM10,000 yang amat dituntut dan dinanti-nantikan oleh rakyat yang sememangnya sedang susah dan amat tertekan," katanya.

Bagi Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan, tuntutan berkenaan disuarakan di seluruh negara.

"Ia di sampaikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Bahkan parti lain tiba-tiba turut mendendangkan isu yang sama ketika PRN Johor baru-baru ini.

"Sebab itu kita bersyukur dan berterima kasih, akhirnya tuntutan ini diterima sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 5:27 PM