GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tujuh negeri merekodkan penggunaan katil di wad unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 melebihi 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kuala Lumpur mendahului dengan 81 peratus penggunaan katil diikuti Putrajaya (67 peratus), Johor (64 peratus), Selangor (60 peratus), Kelantan (58 peratus), Perlis (55 peratus) dan Melaka (50 peratus).

Bagi katil bukan ICU, katanya, terdapat 12 negeri merekodkan penggunaan katil melebihi 50 peratus.

"Negeri berkenaan ialah Putrajaya sebanyak 104 peratus, Kuala Lumpur (90 peratus), Terengganu (87 peratus), Perak (83 peratus), Selangor (79 peratus) dan Melaka (77 peratus).

"Selain itu, Perlis sebanyak 76 peratus, Sarawak (72 peratus), Kelantan (67 peratus) , Johor (57 peratus), Pahang (52 peratus) dan Pulau Pinang (50 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiada negeri peratusan pengisian lebih 50 peratus bagi katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Menurutnya, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) pula meningkat kepada 222 orang dan peratusan penggunaan bantuan itu adalah 25 peratus daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 10:41 AM