Foto hiasan
Foto hiasan
BERNAMA

DUA beradik maut manakala dua lagi parah selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas di Kilometer 13 Lebuhraya Seremban-Port Dickson arah Seremban petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan Superintenden Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kedua-dua mangsa yang cedera parah iaitu seorang lelaki dan seorang wanita merupakan anak kepada dua mangsa yang maut dalam kejadian pada 4.45 petang itu.

Menurutnya, mangsa yang maut dikenali sebagai Faridah Sutin, 55, dan kakaknya, Norazimah, 57.

Katanya, mangsa yang parah pula dikenali sebagai Muhammad Firdaus Mahadi, 20, merupakan anak Faridah dan Alia Husna Saharudin, 24, anak kepada Norazimah.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Perodua Myvi dipandu Muhammad Firdaus dari arah Port Dickson menuju ke Kuala Pilah hilang kawalan dan terbabas ke kawasan landai di tepi lebuh raya sejauh hampir dua meter," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan lanjut dan proses bedah siasat.

Katanya, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 11:32 PM