Pengerusi Gajah Liar Pahang, Datuk Nazri Ngah ( dua kiri) sedang melihat operasi menangkap gajah liar di Uu Retang baru baru ini.  FOTO ROSELAN AB MALEK.
Pengerusi Gajah Liar Pahang, Datuk Nazri Ngah ( dua kiri) sedang melihat operasi menangkap gajah liar di Uu Retang baru baru ini. FOTO ROSELAN AB MALEK.
Oleh Roselan Ab Malek


Jerantut: Kerajaan negeri sedang menyediakan kawasan rayau khas untuk gajah liar ditanam dengan napier seluas 80 hektar di Ulu Tembeling sebagai alternatif mengelakkan kawanan haiwan berkenaan menceroboh kawasan penduduk.

Sebelum ini, kawanan gajah liar kerap menceroboh masuk ke kawasan kampung dan memusnahkan tanaman penduduk selain menimbulkan ancaman keselamatan.

Pengerusi Gajah Liar Pahang Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri sudah mewartakan kawasan seluas 80 hektar antara Hentian Bukit Awan dengan Kampung Kuala Sat berdekatan Ladang Yayasan Pahang, sebagai kawasan rayau gajah liar mencari makanan serta mengelakkan menceroboh kawasan kampung dan tanaman penduduk.

"Kita sudah melantik sebuah syarikat untuk menyelenggarakan tanaman rumput napier di samping memulihara tanaman hutan yang sedia ada sebagai makanan gajah liar pada masa akan datang.

"Dengan adanya tanaman khas untuk gajah liar, diharap haiwan ini tidak akan merayau ke kawasan kampung," katanya.

Menurutnya, pada masa sama, pihaknya juga tidak mahu semua gajah itu dipindahkan ke tempat lain.

Beliau berkata, konflik gajah dan manusia tidak dapat dielakkan kerana banyaknya pembangunan bagi aktiviti pertanian dan ladang sehingga kawasan rayau untuk makanan haiwan berkenaan semakin terhad.

Nazri berkata, pembukaan kawasan rayau khas itu antara penyelesaian terbaik konflik gajah dengan manusia serta bermanfaat untuk pembangunan ekopelancongan.

"Ketika ini, kita juga memohon bantuan bantuan renjer Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Tahan, JPKK Kuala Sat serta penduduk setempat untuk mengawasi aktiviti gajah liar ini.

"Jika gajah ini masih mengganggu penduduk, kita akan ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pencerobohan berulang seperti sebelum ini, kerajaan negeri dengan kerjasama Unit Tangkapan Gajah (UTG), Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh akan menangkap gajah liar itu untuk dipindahkan ke Tasik Kenyir.

"Sejak dua tahun lalu sehingga ini, 14 gajah liar yang menceroboh kawasan kampung berulang kali ditangkap dan dipindahkan ke Pusat Konservasi Gajah Liar di Kenyir, Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 1:49 PM