Usaha mengumpan kira-kira empat ekor gajah liar yang berkeliaran di sekitar daerah Kluang, Johor membuahkan hasil apabila salah seekor daripadanya sudah termasuk perangkap. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Usaha mengumpan kira-kira empat ekor gajah liar yang berkeliaran di sekitar daerah Kluang, Johor membuahkan hasil apabila salah seekor daripadanya sudah termasuk perangkap. FOTO Mohamad Fahd Rahmat
Oleh Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Seekor daripada kumpulan gajah liar yang merosakkan harta benda dan hasil tanaman penduduk di Taman Sri Lambak di sini, baru-baru ini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, semalam.

Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin berkata, pihaknya menggunakan dua gajah denak (jinak) betina berusia 20 dan 20 tahun bagi memujuk kawanan liar itu.

Katanya, operasi mengumpan dan menangkap menggunakan ubat pelali yang masuk hari kelapan itu dilakukan dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di Lanchang, Pahang.

"Kumpulan tiga ke empat ekor gajah ini dikenal pasti sebagai kumpulan yang sama merosakkan harta benda dan hasil tanaman penduduk di Taman Sri Lambak sebelum ini.

"Salah seekor daripadanya iaitu gajah jantan berjaya ditangkap akan dipindahkan ke lokasi baharu yang sesuai dan pemantauan ke atas baki gajah lain diteruskan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan Kira-kira 500 keluarga di Taman Sri Lambak di sini gusar dengan kehadiran sekumpulan gajah di kawasan perumahan itu sejak setahun lalu.

Kumpulan gajah yang dipercayai kelaparan itu bertindak menceroboh kawasan rumah termasuk memusnahkan harta benda selain tanaman diusahakan penduduk

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 2:06 PM