GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Pendaki gunung disarankan menggunakan khidmat malim gunung bertauliah bagi mengelak risiko tersesat ketika melakukan aktiviti itu.

Presiden Persatuan Mencari dan Menyelamat Malaysia (MOSARS) Muzafar Mohamad berkata, kebanyakan gunung di Semenanjung Malaysia sudah ada perwartaan daripada Jabatan Perhutanan Malaysia mewajibkan penggunaan malim gunung ketika mendaki.

Menurutnya, pendaki yang ingin bermalam seeloknya menggunakan khidmat malim gunung kerana kawasan yang lebih terpencil memerlukan bantuan daripada malim gunung berdaftar atau pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengurangkan kejadian tidak diingini.

"Selain dapat menjaga keselamatan diri kita, ia juga dapat memudahkan kerja apabila menggunakan khidmat malim gunung.

"Elakkan mendaki secara solo dan lebih baik secara berkumpulan kerana jika berlaku apa-apa rakan-rakan pendaki akan dapat bertindak cepat membantu berbanding bergerak sendirian," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian bagi mengulas banyak kejadian sesat dalam hutan ketika mendaki berlaku sejak kebelakangan ini.

Muzafar berkata, malim gunung ini sudah biasa dengan keadaan di gunung terbabit dan mempunyai kemahiran serta tahu apa yang akan dilakukan jika berlaku sesuatu ketika mendaki.

"Selain itu nasihat saya aktiviti lasak mendaki ini jika ingin melakukanya bukan kerana ikut kawan tetapi buat ikut kemampuan kita.

"Ada yang mendaki kali pertama dia tidak tahu tahap kawannya yang sudah banyak kali mendaki dan akhirnya akan merisiko dirinya," katanya.

Beliau berkata, sebaiknya sebelum memulakan pendakian dapatkan maklumat lebih awal berkaitan tempat yang ingin didaki terutama kawasan pendakian harian yang tidak bermalam supaya tidak mendaki secara sembrono sehingga boleh tersesat.

Katanya, bagi mereka yang baru mula ingin mendaki lebih elok lakukan aktiviti ringan terlebih dahulu seperti berjogging, rekreasi di padang awam dan bermula dengan mendaki bukit terlebih dahulu baru ke gunung secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 1:45 PM