MELAKUKAN pendakian secara berkumpulan amat digalakkan.
MELAKUKAN pendakian secara berkumpulan amat digalakkan.
Hafiz Ithnin

DI sebalik populariti aktiviti mendaki gunung di Malaysia, sebenarnya terdapat kisah duka yang sering dilaporkan dalam media tempatan. Pastinya, isu tragedi kemalangan ketika mendaki.

Tidak dinafikan ia semakin kerap berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Boleh dikatakan, dalam seminggu berlaku dua kemalangan membabitkan pendaki tempatan.

Pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) Sains Sukan (Rekreasi Luar) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nik Jawziri Johannis berkata, menerusi laporan Persatuan Mencari dan Menyelamat Gunung Malaysia (Mosars), setakat 2018 sejumlah 105 kes direkodkan membabitkan 400 orang mangsa berdasarkan kes yang dilaporkan di media massa.

MEMANJAT cerun tinggi dengan bantuan juntaian akar pokok.
MEMANJAT cerun tinggi dengan bantuan juntaian akar pokok.

Katanya, antara 1996 hingga 2014, sebanyak 134 kes kemalangan direkodkan dalam tempoh itu. Sekali gus menggambarkan kemalangan ketika mendaki pada tahun lalu begitu tinggi berbanding angka kes terkumpul dalam tempoh 18 tahun itu.

“Berdasarkan kepada angka kemalangan ketika mendaki yang dilaporkan pihak media menunjukkan bahawa iklim keselamatan dalam kalangan pendaki tempatan berada pada tahap membimbangkan dan perlu dipandang serius.

“Sikap pendaki sendiri punca utama berlaku kemalangan ketika aktiviti itu dilakukan. Kajian saya mendapati, pendaki yang mempunyai sikap negatif dengan tidak mempunyai persediaan secukupnya menjadi penyumbang kepada kejadian buruk ini,” katanya.

Jelasnya, persediaan merangkumi penilaian kemampuan diri dari segi tahap kesihatan untuk memastikan mental dan fizikal sedia berhadapan dengan cabaran ketika mendaki. Sekiranya tahap kesihatan tidak mengizinkan, individu berkenaan seharusnya menunda aktiviti berkenaan sehingga diri bersedia sepenuhnya.

Katanya, tidak terkecuali kelengkapan seperti kasut, pakaian, lampu dan beg yang bersesuaian perlu dititik beratkan kerana perkara itu memainkan peranan penting bagi keselamatan dan memberi keselesaan ketika mendaki.

“Tidak terkecuali mereka perlu memastikan kotak kecemasan yang mengandungi alat perubatan asas sentiasa berada bersama kerana jika berlaku kecederaan, ia boleh digunakan sementara menunggu bantuan kecemasan tiba.

SEMPAT singgah di Gua Akar yang unik.
SEMPAT singgah di Gua Akar yang unik.

“Selain itu, sekiranya anda kali pertama mendaki ke sesuatu lokasi baru, jangan ambil risiko untuk meredah seorang diri atau bersama kumpulan yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai laluan di kawasan itu. Saya amat sarankan pendaki menggunakan khidmat penunjuk arah berpengalaman dan profesional,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pendaki baru, katanya golongan itu sepatutnya tidak hanya memikirkan perkara yang menyeronokkan sahaja tanpa membuat sebarang persediaan dan bergantung sepenuhnya kepada penunjuk arah.

“Pada hari ini, ada ramai yang ingin terbabit dalam aktiviti mendaki. Antara faktornya, ingin menikmati keindahan di puncak dan tidak dapat dinafikan perkongsian di laman sosial juga turut menyumbang kepada keinginan itu.

“Namun, persekitaran mendaki gunung bukan mudah seperti yang dipaparkan di media sosial kerana gambar atau video yang ditayangkan kebanyakan menceritakan keindahan dan perkara ini memberi persepsi mendaki gunung adalah sesuatu yang mudah,” katanya.

Jelas Nik Jazwiri, hakikatnya perjalanan menuju ke puncak adalah sebaliknya iaitu penuh dengan cabaran apatah lagi jika individu itu kali pertama melakukan aktiviti pendakian.

“Latihan bagi memantapkan kecergasan fizikal dan mental perlu dilakukan sebelum mereka mendaki kerana ia memerlukan stamina serta daya tahan yang tinggi. Latihan kecergasan seperti latihan berintensiti tinggi (HIT) amat membantu.

“Latihan seperti itu bukan sahaja dapat menguatkan otot yang diperlukan ketika mendaki dan mengalas beg yang berat, malah membantu menguatkan paru-paru supaya mampu mengawal pernafasan untuk perjalanan yang lama,” katanya.

ASAS merawat kecederaan membantu ketika diperlukan.
ASAS merawat kecederaan membantu ketika diperlukan.

TIP KETIKA MENDAKI:

• Bersedia dari segi ilmu pengetahuan dan kelengkapan.

• Ikut peraturan dan lapor rancangan pendakian kepada pihak berkuasa.

• Sentiasa berada dalam kumpulan.

• Berpatah balik sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini dalam ahli kumpulan.

• Tahu untuk menyelamatkan diri sendiri dan tidak bergantung harap kepada pasukan penyelamat 100 peratus.

• Sentiasa ingat mengingati antara ahli kumpulan ketika mendaki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 10:43 AM