LELAKI warga Singapura yang hilang ketika mendaki ditemui selamat petang tadi. FOTO ihsan JPNJ
LELAKI warga Singapura yang hilang ketika mendaki ditemui selamat petang tadi. FOTO ihsan JPNJ
Omar Ahmad


Kota Tinggi: Lelaki warga Singapura yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Panti Barat, Batu Ampat di sini, semalam, tidak mempunyai permit mendaki.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) Datuk Salim Aman berkata, lelaki berusia 40 tahun itu juga mendaki seorang diri tanpa kawalan jurupandu.

Katanya, lelaki terbabit difahamkan memasuki Hutan Simpan Gunung Panti itu pada waktu petang sebelum tersesat dan tidak dapat keluar sehingga ditemui jam 4.20 petang tadi.

"Sekarang ini difahamkan polis membawa mangsa ke hospital untuk rawatan.

"Seterusnya kita akan ambil tindakan di bawah Seksyen 47 Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) 1995 Negeri Johor kerana masuk Hutan Simpanan Kekal tanpa permit.

"Keselamatan diri pendaki adalah penting. Jika berlaku perkara sebegini bukan saja pendaki yang terkesan tetapi menyukarkan banyak pihak, terutamanya pihak yang terbabit dengan urusan mencari dan menyelamat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Salim berkata, pihaknya menasihatkan kepada mereka yang berhasrat masuk hutan atau mendaki agar memohon Permit dari JPNJ dan dapatkan khidmat malim gunung yang berdaftar.

"Bagi mereka yang tidak biasa dan tidak pernah masuk hutan adalah tidak dibenarkan membuat pendakian secara berseorangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Ogos 2022 @ 6:50 PM