GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad
GAMBAR hiasan. FOTO Danial Saad
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Penerima vaksin boleh melaporkan sendiri kesan advers susulan imunisasi (AEFI) sekiranya pengamal perubatan yang merawat mereka tidak berbuat demikian.

Ketua Seksyen Farmakovigilans, Pusat Komplians dan Kawalan Kualiti, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Azuana Ramli, berkata selalunya laporan berkenaan AEFI akan dilaporkan pengamal perubatan di KKM atau swasta kepada pihaknya jika mereka mengesyaki ia ada kaitan dengan pemberian vaksin.

Bagaimanapun, beliau berkata, penerima vaksin yang merasakan mereka mengalami kesan berkenaan juga boleh berbuat demikian dengan memuat turun borang disediakan dalam laman sesawang NPRA dan mengisinya sendiri sebelum ia emel kembali kepada pihak terbabit.

Menurutnya, apabila seseorang merasakan mereka terkesan dengan pelalian yang diterima, mereka perlu ke klinik kesihatan atau pusat perubatan swasta untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan.

"Memang perawat boleh melaporkan kesan tadi kepada NPRA (dan) katakan doktor tak mengesyaki lalu dia tidak melaporkan tetapi pesakit terbabit masih merasakan kesan itu adalah kesan AEFI, pesakit sendiri boleh melaporkan.

"Sekiranya ada dua laporan yang diterima iaitu daripada doktor yang merawat dan pesakit, kami ada cara untuk melihat identifikasi laporan sama serta ia akan dianggap sebagai satu laporan," katanya pada Sesi Taklimat Bersama Media berhubung Laporan AEFI Vaksin Covid-19 Siri 2/2022, secara dalam talian, pagi ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai rungutan sesetengah pihak bahawa ada pengamal perubatan yang merawat mereka keberatan untuk melaporkan kesan yang disyaki AEFI kepada NPRA biarpun ia dianggap serius serta mempunyai kaitan dengan pengambilan vaksin oleh pesakit.

Pesakit boleh membuat laporan mengenai AEFI melalui aplikasi MySejahtera untuk kesan yang tersenarai dan secara dalam talian dengan mengisi Borang Pelaporan Kesan Sampingan Ubat Untuk Pengguna (ConSERF) menerusi laman sesawang NPRA, www.npra.gov.my.

Dr Azuana berkata, jika ada keperluan, NPRA akan berhubung dengan doktor yang merawat pesakit berkenaan.

Sementara itu, Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani, penerima vaksin Covid-19 perlu mendapatkan rawatan dan pemeriksaan terhadap kesan yang dialami selepas mendapatkan dos vaksin sebelum mereka mengemukakan laporan kepada pihaknya.

Katanya, semua maklumat berkenaan termasuk laporan kesihatan yang diterima perlu disertakan dalam laporan yang dibuat kepada NPRA untuk memudahkan siasatan.

"Jika pelapor itu tidak membuat pemeriksaan terhadap kesan yang disyaki berkaitan dengan pengambilan vaksin, sukar untuk NPRA mengesahkan hubung kaitnya.

"Kalau tidak jumpa maklumat pun kita boleh menghubung si pelapor semula atau berhubung dengan Klinik kesihatan yang dikunjungi mereka untuk mendapatkan rawatan. Lebih banyak maklumat disertakan adalah lebih baik," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, garis panduan yang ada pada NPRA ialah pelapor perlu memaklumkan apa yang berlaku dalam tempoh 30 hari selepas mereka mendapatkan vaksin.

Pun begitu, beliau berkata, jika penerima vaksin masih beranggapan kesan yang dialami ada kaitan dengan vaksinasi selepas tempoh berkenaan, mereka masih lagi boleh membuat laporan kepada NPRA.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Roshayati berkata, pihaknya menerima 94 laporan AEFI membabitkan penerima vaksin golongan kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun setakat 25 Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 2:51 PM