PETUGAS perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima di PPV Offsite Dewan Ang Si Chong. Butterworth. FOTO Danial Saad     
PETUGAS perubatan memberikan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada penerima di PPV Offsite Dewan Ang Si Chong. Butterworth. FOTO Danial Saad     
Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Individu yang masih ragu-ragu untuk mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 boleh membuat pemeriksaan tahap kesihatan dan berbincang dengan pegawai perubatan.

Pakar Perubatan dan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Azmawati Mohammed Nawi berkata, langkah itu penting untuk memastikan individu berkenaan berkeyakinan sebelum mengambil dos penggalak.

"Kalau khuatir (kesan sampingan dan sebagainya) pergilah buat pemeriksaan dan berbincang dengan doktor sebelum datang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kerana kadang-kadang ada orang tidak tahu dia ada penyakit.

"Di sesetengah PPV juga, kita boleh minta untuk membuat pemeriksaan dulu dan jika tak ada masalah, sesuai dan selamat barulah doktor bertugas di situ akan membenarkan proses suntikan dos berkenaan dilakukan," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata demikian mengulas 1,747 laporan diterima Sistem Pelaporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) membabitkan AEFI serius.

Katanya, setiap vaksin mempunyai kesan sampingan, namun keberkesanannya melindungi diri daripada jangkitan teruk Covid-19 lebih baik berbanding kemudaratan.

"Setiap vaksin ada kesan sampingan tetapi sangat ringan dan bergantung kepada individu kadang-kadang ada penyebab tertentu contohnya mempunyai sejarah alahan boleh menyebabkan kesan sampingan lebih besar.

"Biasanya individu yang mempunyai paras imuniti rendah apabila dapat vaksin kadang-kadang tak boleh lawan macam orang biasa sebab itu kesan dia nampak jadi hendak selamat buatlah pemeriksaan kesihatan terlebih dulu," katanya.

Beliau berkata, sudah terbukti dengan kajian pengambilan dos penggalak berkesan meningkatkan kembali tindak balas imun badan yang menurun selepas beberapa tempoh vaksinasi lengkap.

"Kita disaran mengambil dos penggalak kerana terbukti berkesan untuk meningkatkan kembali imuniti terutama mereka yang mengambil vaksin jenis Sinovac," katanya.

Semalam, Pengarah NPRA, Dr Roshayati Mohamad Sani turut mendedahkan, Sistem Pelaporan AEFI NPRA menerima 24,990 laporan dengan 93 peratus daripada kesan AEFI vaksin Covid-19 adalah tidak serius, setakat 11 Februari lalu.

Antara kesan yang banyak dilaporkan penerima vaksin ialah demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Februari 2022 @ 6:06 PM