GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesahkan menerima laporan yang dinyatakan dalam surat daripada Penjara Kajang yang tular di media sosial berkenaan 18 kes mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) serius dalam kalangan penerima vaksin Covid-19 melalui Program Vaksinasi Banduan Penjara Kajang.

Pengarah NPRA Dr Roshayati Mohamad Sani dalam kenyataan hari ini berkata, laporan AEFI yang diklasifikasikan sebagai serius termasuk melibatkan kematian dalam proses penyiasatan.

"Pada masa yang sama, siasatan juga telah dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat lengkap.

"Laporan siasatan akan dibentangkan untuk dinilai Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) bagi mengesahkan kausaliti atau hubungkait antara vaksin dengan kesan advers yang dilaporkan," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui NPRA memantau secara berterusan keselamatan penggunaan semua vaksin termasuk vaksin Covid-19 melalui pemantauan laporan AEFI.

KKM akan memaklumkan situasi semasa laporan kepada umum dari semasa ke semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 January 2022 @ 4:32 PM