GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sembilan individu dan tiga syarikat yang juga pemegang akaun CIMB Bank memfailkan saman terhadap bank itu berhubung pembekuan akaun simpanan dan akaun semasa mereka pada Januari lalu atas alasan disyaki terbabit dalam kegiatan haram serta mencurigakan membabitkan akaun berkenaan.

Kesemua plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Nazmi Zaini Chambers di Mahkamah Tinggi di sini semalam dengan menamakan CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad selaku defendan pertama dan kedua.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif yang juga pendeposit akaun simpanan dan akaun semasa yang disediakan oleh defendan itu mendakwa mereka mengetahui akaun berkenaan dibekukan oleh kedua-dua defendan pada 26 hingga 28 Januari lalu.

Mereka mendakwa, selepas mengetahui hal itu, pada 31 Januari hingga 4 Februari lalu, mereka sudah menghubungi cawangan kedua-dua defendan bagi mendapatkan penjelasan dan dimaklumkan bahawa mereka disyaki terbabit dalam kegiatan haram serta mencurigakan membabitkan akaun berkenaan.

"Plaintif-plaintif juga dimaklumkan bahawa jumlah (wang) yang dibekukan adalah sebahagian daripada transaksi terapung sementara menunggu penyelesaian transaksi tersebut dan kesemua plaintif dimaklumkan sistem perbankan atas talian defendan-defendan dalam proses penyelenggaraan teknikal," dakwa kesemua plaintif.

Plaintif pada setiap masa yang material mendakwa mereka tidak pernah terbabit atau menjalankan transaksi yang membenarkan defendan untuk membekukan atau menahan akaun berkenaan.

"Tindakan defendan-defendan membeku atau menahan akaun-akaun tersebut tanpa sebarang alasan yang dibenarkan di dalam Klausa 7, Terma dan Syarat Akaun Simpanan dan Terma dan Syarat Akaun Semasa adalah suatu kemungkiran kontrak antara plaintif-plaintif dan defendan-defendan.

"Tindakan pembekuan atau penahanan akaun-akaun tersebut oleh defendan-defendan, menyebabkan kesemua plaintif mengalami kesukaran, kesulitan dan kepayahan apabila tidak boleh mengguna pakai akaun-akaun tersebut," dakwa mereka.

Selain itu, kesemua plaintif mendakwa defendan mempunyai tanggungjawab dan tugas berhati-hati untuk memastikan sebarang tindakan pihak ketiga tidak menjejaskan hak serta kedudukan mereka sebagai pendeposit kepada institusi kewangan itu.

Dakwa plaintif, defendan sudah mengabaikan tugasnya apabila membenarkan kecuaian pihak ketiga yang menyediakan perkhidmatan kiriman wang yang menjejaskan hak dan kedudukan mereka sebagai pelanggan dan pendeposit.

Kesemua plaintif memohon antaranya deklarasi bahawa defendan sudah memungkiri terma dan syarat akaun simpanan serta akaun semasa apabila tindakan defendan membekukan akaun itu tanpa sebab yang dibenarkan di sisi undang-undang.

Sementara itu, peguam Nazmi Mohd Zaini yang mewakili kesemua plaintif ketika dihubungi pemberita berkata, pengurusan kes itu ditetapkan 15 Mac ini secara dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi S Malarselvi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 6:52 PM