Raja Noraina Raja Rahim


Sungai Buloh: Hospital Sungai Buloh (HSB) yang sebelum ini menjadi pusat rawatan pesakit Covid-19 bakal diisytiharkan sebagai hospital hibrid, bulan depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, ia berdasarkan trend terkini pesakit Covid-19 yang kebanyakan dalam kategori satu dan dua iaitu bergejala ringan.

Beliau berkata, meskipun kes harian Covid-19 di negara ini menunjukkan peningkatan namun kes kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) adalah terkawal.

"Jika trend ini berterusan untuk tiga hingga empat minggu lagi, kita mungkin boleh rombak balik status HSB kepada hospital hibrid.

"Ini bermakna bilik kecemasan dibuka untuk semua kes dan mereka (pesakit bukan Covid-19) akan dirawat di sini," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kompleks MRI dan Projek Naik Taraf Bekalan Gas Perubatan Pusat Kawalan Kusta Negara di HSB di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, ketika ini HSB sudah mula menerima kemasukan pesakit bukan Covid-19 terutama bahagian kecemasan mengikut budi bicara pengarah hospital.

Ditanya mengenai pembukaan semula Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang, beliau berkata, ia bagi meringankan beban kemasukan ke hospital di Lembah Klang.

Katanya, Hospital Kuala Lumpur (HKL) sudah meningkatkan perkhidmatan bukan Covid-19 dan peningkatan kemasukan kes Covid-19 boleh menyebabkan berlaku kesesakan.

"Kita melihat banyak kes yang mana pesakit masuk ke hospital untuk rawatan lain, tapi hasil ujian saringan positif Covid-19.

"Ini merumitkan sedikit pengurusan katil di hospital kerana mereka terpaksa diasingkan. Melihat situasi itu, maka pesakit Covid-19 akan diasingkan di Maeps supaya tidak berlaku kesesakan dan hospital ada fleksibiliti untuk mengurus pesakit," katanya.

Bagaimanapun, katanya, PKRC Maeps tidak beroperasi dengan kapasiti penuh dan hanya menerima kes tidak memerlukan rawatan ICU dan intensif.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 2:34 PM