DR Noor Hisham Abdullah bersama kakitangan kesihatan di Hospital Putrajaya hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
DR Noor Hisham Abdullah bersama kakitangan kesihatan di Hospital Putrajaya hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Zon Wilayah Tengah (PKRC ZWT) MAEPS dijangka tutup bulan ini berikutan bilangan pesakit yang semakin berkurangan yang ditempatkan di situ.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bagi menampung pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan, Kementerian Kesihatan (KKM) sudah menyiapkan kemudahan PKRC di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan PKRC mini di Hospital Putrajaya.

Bagaimanapun, beliau berkata kedua-dua kemudahan itu masih belum digunakan berikutan pesakit dalam kategori tiga, empat dan lima semakin berkurangan.

"Kalau kita lihat 99.5 peratus pesakit Covid-19 adalah dalam kategori satu dan dua. Kemasukan pesakit kategori tiga, empat dan lima amat berkurangan jadi kita masih ada kemampuan untuk menerima pesakit.

"Kemudahan ini adalah siap siaga saja jika diperlukan. Kita akan tempatkan di HTAR dan Hospital Putrajaya sekiranya diperlukan.

"Pesakit yang ditempatkan di PKRC MAEPS amat berkurangan dan kita akan tutup bulan ini," katanya pada sidang media selepas melawat pesakit dan kakitangan kesihatan di Hospital Putrajaya sempena sambutan Aidilfitri hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kedua-dua kemudahan PKRC di HTAR dan Hospital Putrajaya masing-masing menyediakan 20 katil rawatan pesakit Covid-19.

Selain itu, beliau berkata, KKM turut bekerjasama dengan Mercy Malaysia yang menyediakan peralatan seperti khemah untuk menampung pesakit yang bertambah sekiranya perlu.

PKRC MAEPS mula dibuka pada 16 April 2020 berikutan peningkatan kes Covid-19 bagi pesakit kategori satu dan dua sebelum ditutup pada 15 Julai tahun sama.

Ia dibuka semula pada Disember 2020 berikutan peningkatan kes Covid-19 sebelum ia dinaik taraf sebagai PKRC Bersepadu MAEPS 2.0 pada 24 Januari 2021 dengan menerima pesakit kategori tiga dan empat.

Ia kemudian ditutup pada 8 Februari lalu namun terpaksa dibuka semula susulan penularan Omicron pada 25 Februari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 1:52 PM