PETUGAS barisan hadapan membuat persediaan untuk menghantar pesakit kritikal ke wad ICU ketika tinjauan di MARIA PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS baru-baru ini. FOTO Bernama
PETUGAS barisan hadapan membuat persediaan untuk menghantar pesakit kritikal ke wad ICU ketika tinjauan di MARIA PKRC Bersepadu 2.0 MAEPS baru-baru ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Serdang: Di celah-celah bangunan di kawasan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), terletak satu khemah gelembung udara tekanan negatif yang di dalamnya persis keadaan di unit rawatan rapi (ICU) hospital dengan peralatannya serta terdapat pesakit.

Dilengkapi empat katil, enam kerusi dan peralatan untuk resusitasi seperti di ICU, khemah MAEPS Acute Resuscitation and Isolation Area (MARIA) ini bertindak umpama ICU sementara yang mampu menempatkan 10 pesakit kritikal Covid-19 kategori 4 pada satu-satu masa yang perlu distabilkan dan memerlukan bantuan oksigen sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Timbalan Pengarah 1 Klinikal PKRC MAEPS Dr Marzilawati Abd Rahman berkata, sekiranya keadaan pesakit Covid-19 kategori 1 yakni yang tidak bergejala, kategori 2 (gejala ringan) dan kategori 3 (pesakit dengan radang paru-paru) di PKRC MAEPS berubah menjadi teruk, mereka akan dimasukkan ke MARIA untuk di "resus" (resusitasi) dan distabilkan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Tempoh masa pesakit yang kami resus dan rawat sebelum dihantar ke hospital adalah dalam masa enam jam, namun ketika ini jumlah kes amat tinggi, jadi ada juga kes yang kami terpaksa 'tahan' sehingga 12 jam sebelum dihantar Hospital Sungai Buloh kerana keadaan kekangan katil dan bahagian di hospital itu," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, MARIA yang diaktifkan pada Januari lalu dikendalikan antara 40 dan 45 kakitangan sehari yang terdiri daripada doktor pakar, pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat yang bertugas dalam dua syif iaitu pagi dan petang.

Menurut Dr Marzilawati, pada awal penubuhannya, bilangan pesakit kategori 4 yang dirawat di MARIA adalah kurang daripada 10 orang, namun mutakhir ini berikutan peningkatan kes positif Covid-19 dalam negara, fasiliti itu menerima purata pesakit antara 50 ke 60 sehari.

"Dianggarkan 10 peratus (pesakit) kategori 3 akan menjadi 'bertambah buruk' atau bertukar menjadi kategori 4 yang akan memerlukan penggunaan tangki oksigen.

"Kes seperti ini yang memerlukan terapi oksigen, kami rawat di MARIA secara 'transit' dan kemudian pesakit dibawa ke Hospital Sungai Buloh kerana kes-kes begini lebih bagus dengan oksigen berterusan di hospital yang boleh merawat pesakit dengan lebih efisien dan efektif," katanya.

Selain menstabilkan pesakit yang mempunyai masalah pernafasan, beliau berkata, MARIA juga merawat pesakit yang menghidap penyakit lain seperti kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung.

"Pesakit yang ada penyakit lain contohnya kencing manis, mungkin tidak dapat dikawal semasa kemasukan (ke PKRC MAEPS), kita rawat dia dahulu untuk dalam beberapa jam (di MARIA) dan selepas rawatan dia telah baik dan kemudian dia boleh masuk ke dewan.

"Ada juga kes yang tiba-tiba mereka dapat sakit dada yang memerlukan rawatan seterusnya di hospital, jadi kita rawat dahulu di sini (MARIA) dan kemudiannya kita hantar ke hospital untuk rawatan selanjutnya," katanya.

Dr Marzilawati berkata, 80 peratus pesakit yang dirawat di MARIA ialah pesakit yang memerlukan oksigen atau kategori 4 manakala selebihnya adalah disebabkan 'medical illness'.

Bagi menampung pertambahan pesakit yang dibawa ke MARIA, beliau berkata, pusat rawatan sementara itu disambungkan dengan Dewan B yang bertindak sebagai unit sokongan kepada MARIA dengan kapasiti 60 katil.

Sehingga 26 Mei lalu, PKRC MAEPS mempunyai kapasiti 5,648 katil dengan lebih 75 peratus daripadanya dipenuhi pesakit yang kebanyakan dari kawasan Kuala Lumpur dan Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 1:49 PM